Tuesday, May 26, 2015

Selamat Hari Bapa

Oleh: Zuhaili Binti Mohamad Amin, 44751

Bulan Jun adalah bulan untuk menyambut Hari Bapa setelah menyambut Hari Ibu pada bulan Mei. Bapa adalah seorang insan yang patut kita contohi dan kagumi. Walaupun mereka bukan yang mengandung , melahirkan dan menyusukan kita, namun merekalah yang mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Sebagai anak, kita perlu menjaga mereka selagi mereka masih hidup.


Banyak lagi perkara yang kita boleh lakukan untuk menghargai bapa kita ketika masih hidup. Buat yang sudah kehilangan mereka, jangan lupa sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Buat yang beragama Islam pula, sedekahkan Al-fatihah dan surah Yaasin kepada mereka.


Di atas adalah gambar bapa saya, diberi nama Mohamad Amin bin Mohamed Salleh, berumur 58 tahun. Dilahirkan tanggal 4 Mac 1957. Anak ke enam daripada sepuluh adik-beradik. Berkahwin dengan ‘mama’ atas rancangan arwah nenek saya sebelah abah. Saya memanggil beliau dengan gelaran “abah”.

Wajah tua abah melambangkan abah seorang yang kuat bekerja dan gigih dalam mencari rezeki kepada kami sekeluarga.

Saya orang yang paling bersyukur di dunia ini kerana dianugerahkan oleh Allah seorang bapa yang sempurna. Abah seorang yang sangat penyayang. Bayangkan, abah tidak pernah membiarkan orang lain menghantar ke sekolah dan menjemput anak-anaknya pulang dari sekolah. ibu kepada rakan sebaya saya pernah memuji sikap abah yang selalu menghantar dan menjemput anak-anaknya ke sekolah kerana tidak percaya kepada orang lain. Sekiranya abah ada urusan penting kerja, abah akan meminta tolong bapa saudara untuk hantar kami ke sekolah. Apabila saya tiba di Sarawak, saya berasa sangat janggal kerana tiada lagi orang yang akan hantar dan mengambil saya dari kelas dan ke mana sahaja saya mahu pergi.

Saya dan abah sangat rapat. Abah lah orang yang sentiasa menemani ke mana sahaja saya pergi dari kecil hingga sekarang. Saya masih teringat pertama kali saya mahu datang ke Universiti Malaysia Sarawak, abah memeluk dan mencium saya sebanyak dua kali ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 2013. Abah seperti tidak mahu melepaskan saya seorang diri. Sayu hati untuk meninggalkan abah yang semakin lanjut usia. Abah tidak pernah marahkan anak-anaknya seperti bapa lain yang bersikap tegas. Walaupun abah tidak tegas dan tidak pernah marahkan kami, kami masih menghormati, menyayangi mereka dan tidak membuat perkara yang bukan-bukan. Alhamdulillah.

Abah seorang yang sangat mengambil berat tentang anak-anaknya. Sekiranya saya tidak menelefon mereka, abah akan mula bertanya mama dan risau sekiranya berlaku perkara yang tidak baik. Jadi, saya akan pastikan yang saya menelefon mereka setiap hari dan bertanya khabar antara satu sama lain. 

Abah selalu memenuhi permintaan saya dan adik-beradik. Saya tahu saya tidak mampu membalas jasa abah dan mama saya yang terlalu banyak. Impian saya adalah saya mahu menunaikan umrah atau haji bersama mereka, membahagiakan mereka tanpa menggoreskan hati mereka dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat. Sekiranya saya di rumah, saya suka memasak untuk mereka. Antaranya kek coklat, kek red velvet, paprik ayam, ayam phat pet, nasi ayam dan banyak lagi. SELAMAT HARI BAPA ABAH SAYANG!

2 comments:

  1. Terima kasih Ju. Perkongsian yang sangat menyentuh hati. Sayangilah ibu bapa kita selagi mana mereka masih ada. Kalau bukan kita sebagai anak, siapa lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betol tu mizi, syurga di bawah telapak kaki ibu...

      Delete