Saya
sekadar mahu berkongsi, betapa hebatnya manusia dan manusia itu adalah kita.
Mengapa manusia hebat? Apa buktinya manusia hebat? Apa kedudukan manusia di
sisi Tuhan?
Asal Kejadian Manusia
Setiap manusia
dilahirkan dengan kemuliaan dan kehebatan. Apabila dilihat dari sudut Islam,
manusia berada di tahap kemuliaan yang cukup hebat berbanding makhluk-makhluk
yang lain seperti malaikat, syaitan dan haiwan. Walaupun malaikat dicipta
daripada cahaya dan syaitan daripada api, ia tidak memberi makna yang mereka
mampu mengatasi kehebatan manusia. Manusia yang dicipta daripada tanah tidak
dapat dilihat secara tersurat, sebaliknya secara tersirat ia menandakan
kehebatan manusia. Antaranya adalah manusia memperoleh akal fikiran yang
menyebabkan manusia mampu diangkat lebih mulia daripada malaikat.
Semasa
awal kejadian manusia pertama iaitu Nabi Adam, berlaku dialog di antara Tuhan,
malaikat dan syaitan. Ringkasnya, Tuhan mengarahkan semua makhluk di syurga termasuk
syaitan ketika itu yang juga penghuni syurga supaya sujud menghormati Adam
sebagai manusia pertama ciptaan Tuhan. Kerana rasa bongkak dan ego, syaitan
enggan sujud pada Adam kerana merasakan tiada sebab baginya menghormati makhluk
yang diciptakan daripada tanah sedangkan dia adalah daripada api. Lantas,
akibat kedegilan syaitan yang konsisten itu, syaitan dihalau keluar dari
syurga.
"Dan
(ingatlah) ketika kami menyatakan kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada
Adam', maka sujudlah mereka kecuali iblis, ia enggan dan takabbur dan ia adalah
termasuk golongan yang ingkar kepada Tuhan." (Surah al-Baqarah, ayat 34)
Kisah ini
memberikan dua makna yang cukup besar iaitu:
- Sikap egois syaitan menjadi punca generasi syaitan hidup di dalam Neraka. Malah menyebabkan wujudnya kejahatan di dunia kerana syaitan yang berjanji mahu menyesatkan kaum Adam.
- Perintah Tuhan kepada semua makhluk di syurga termasuk para malaikat yang tidak pernah ingkar supaya sujud kepada Adam memberikan indikator, manusia mempunyai darjat yang cukup mulia di sisi Tuhan.
Prinsip
ini disahkan melalui penjelasan Tuhan di dalam Qur'an dalam surah Tin ayat
4 iaitu, "Sesungguhnya dijadikan manusia itu pada sebaik-baik
kejadian."
Elakkan Memperlekehkan Diri Sendiri
Kemuliaan
manusia di sisi Tuhan berbanding makhluk lain memberi maksud yang kita semua
adalah hebat. Dalam diri kita terdapat potensi yang berkemungkinan besar
membolehkan kita mencapai puncak kejayaan. Tidak ada sebab untuk kita
memperlekehkan diri sendiri, tidak ada sebab untuk kita mengatakan kita
ditakdirkan gagal.
Mungkin
ada kalanya terdapat orang lain yang memperlekehkan kita, tetapi ia tidak
seteruk apabila kita sendiri yang memperlekehkan diri kita. Kita mungkin tidak
dapat mengawal sepenuhnya tutur kata dan fikiran orang lain, tetapi kita pasti
mampu mengawal tutur kata dan fikiran kita sendiri.
Manusia Sudah Miliki Kuasa Pengaruh
Adakah
kita ingat, pada usia kecil kita sudah pun menggunakan kuasa pengaruh? Semasa
kita masih bayi, kita menjadi perhatian hampir semua orang yang melihat kita.
Pada penelitian saya, semasa kita masih bayi, kita menggunakan
sekurang-kurangnya tiga kuasa pengaruh iaitu:
- Kuasa senyuman dan ketawa: Menyebabkan orang ramai rasa terpikat dan sanggup memberikan apa sahaja kerana kecomelan hasil senyuman dan ketawa seorang bayi.
- Kuasa tangisan dan keluhan: Tatkala bayi menangis, ia mampu membuatkan orang ramai di keliling bayi itu resah dan gelisah lantas sanggup berbuat apa sahaja bagi menenangkan bayi itu. Sehinggakan seorang lelaki dewasa yang berjawatan tinggi dalam negara pun sanggup menjadi seperti budak demi menenangkan bayi yang menangis.
- Kuasa berdiam diri: Ketika diam sekalipun, seorang bayi mampu mempengaruhi orang lain mendekatinya serta membuat apa sahaja bagi menggembirakannya.
Itulah
contoh yang membuktikan kita mempunyai potensi pengaruh sejak kecil. Mungkin
kita tertanya-tanya, kenapa ada pula meningkat remaja, dewasa hingga ke alam
tua mengakhiri hidup sebagai manusia sebatang kara dan tidak dipedulikan orang
lain. Kewujudannya tidak menambah, pemergiannya tidak berkurang.
Jawapannya
mudah. Potensi sahaja tidak cukup menjadikan kita hebat dan berpengaruh. Potensi
adalah permulaan kepada kehebatan dan pengaruh. Ayuh kaunselor pelatih sekalian! Kita terokai kuasa pengaruh yang tersimpan pada diri!
Daripada:
Wirrmeezy
Walid, (40238)
Sumber:
Amin
Idris
Magnet diri / Amin Idris.
ISBN 978-983-3372-27-0
1. Interpersonal communication 2. Interpersonal relations. I. Judul.
153.6
No comments:
Post a Comment