Monday, May 25, 2015

7 Strategi Peningkatan Kerjaya




1. Mempunyai Wawasan
“Seribu langkah bermula dengan langkah pertama”, begitulah kejayaan harus dimulakan. Usahalah ke arah kejayaan, barulah kejayaan demi kejayaan dapat dicapai. Langkah pertama adalah “langkah keramat, langkah pendekar”. Kena bersedia untuk memulakan langkah dengan menyediakan perancangan, mengkaji kemungkinan kejayaan dan kegagalan, menetapkan arah dan matlamat. Gambarkan kejayaan yang akan dicapai dan ganjaran yang diharapkan. Mempunyai wawasan adalah penting sebelum memulakan langkah pertama. Wawasan yang jelas bukan sahaja menjadi panduan untuk meningkatkan kejayaan seperti “kendil di malam hari” tetapi juga pendorong dan pembakar semangat ibarat “azimat” untuk mencapai matlamat. Kini dengan wawasan yang jitu melangkahlah dengan gagah dan berani.



2. Kepakaran ‘Hard Skill

Kita sering mendengar istilah “Jack of all trades but master of none” yang menggambarkan kebolehan yang pelbagai tetapi tiada kepakaran dalam bidang tertentu. Keadaan seperti itu tentulah menyukarkan kerana kita memerlukan pakar dalam bidang tertentu. Ada pelbagai bidang kerjaya seperti ekonomi, kejuruteraan, perubatan, sains sosial, perguruan dan lain-lain. Umpamanya bidang Kejuruteraan mempunyai banyak cabangnya seperti kejuruteraan mekanikal, sivil dan elektrikal. Dalam kejuruteraan mekanikal pula terbahagi kepada beberapa cabang seperti mekanikal industri, automotif dan lainnya. Begitu juga perubatan mempunyai pelbagai bidang kepakaran seperti orthopedik, obstetrik dan genecologi, pediatrik, surgeri dan ubatan. Kemampuan dan kebolehan dalam hard skill tertentu penting untuk menjadi pakar dan meningkatkan kerjaya.



3. Kebolehan ‘Soft Skill

Hasil kajian mendapati 70 peratus kejayaan meningkatkan kerjaya adalah kerana adanya ‘soft skills’ manakala selebihnya atau 30 peratus adalah sumbangan ‘hard skills’. Soft skill adalah ilmu kemanusiaan seperti kebolehan berkomunikasi, berinteraksi dan memahami “body language.” Hubungan sesama insan sama ada secara horizontalataupun vertical akan membantu individu behubungan dan berkomunikasi secara berkesan dari pelbagai arah dan dimensi yang seterusnya membantu membina kerjaya.



4. Pengwujudan Jaringan

Jaringan atau networking membolehkan soft skill dan hard skilldisalurkan dalam melaksanakan pekerjaan. Kebolehan dan kemampuan dalam kedua-dua bidang ini tidak bermakna jika tidak dapat dimanfaatkan. Kemahiran kedua-dua skill ini akan terus meningkat jika diamalkan berterusan. Pengalaman dikatakan “guru yang zalim” kerana kita terpaksa melaluinya barulah mengetahui akibatnya tetapi soft skilldan hard skill perlu melalui proses pengalaman untuk menjadi matang dan membantu untuk meningkatkan kerjaya.



5. Sokongan Mentor

Di sebalik kejayaan individu itu biasanya ada beberapa individu yang membantu di belakang kejayaan itu. Mentor atau penasihat atau Shi-fuadalah individu yang dirujuk atas sesuatu hal tertentu seperti kewangan, pentadbiran, hal peribadi dan teknikal. Beberapa individu berkemungkinan menjadi mentor kepada seseorang itu yang terdiri daripada rakan karib, sepupu, dan suami/isteri. Sebenarnya ketua atau “boss” kita adalah mentor yang terbaik. Setiap mentor mempunyai kelebihan atau kepakarannya seperti yang mencangkupi bidang tertentu, kerjaya atau kehidupan. Kumpulan mentor inilah yang akhirnya akan menjadi ‘think tank group’.



6. Menggunakan Teknologi

Kemajuan teknologi telah mempercepatkan proses peradaban manusia. Teknologi telah membantu manusia melaksanakan tugas kerja lebih cepat, pantas dan tepat. Kebolehan dan kemahiran menggunakan teknologi seperti komputer, internet dan pelbagai software adalah penting supaya tugas dapat dilaksanakan dengan efisien, berkesan dan mencapai tahap maksimum yang dikehendaki. Internet menyimpan banyak khazanah maklumat dalam hampir semua perkara dan amat mudah untuk mendapatkannya, semudah ABC, tak sampai pun tiga saat jika kita mengetahuinya. Tetapi maklumat itu hanya akan tinggal maklumat sebagai “raw data” jika tidak diakses seterusnya difahami dan menjadi ilmu yang kemudiannya diamalkan dan memberi manfaat manusia sejagat. Seperti juga buku, walaupun buku mempunyai maklumat tetapi jika tidak dibaca, maklumat hanya akan tinggal maklumat dan tidak mendatang apa-apa kebaikan. Oleh itu, menggunakan teknologi adalah kelebihan dan dapat meningkat kerjaya seseorang.



7. Teguh Jati Diri

Pokok yang berdiri gagah dan bangunan yang teguh mencakar langit adalah kerana asasnya yang kukuh. Akar tunjang atau akar serabut yang mencengkam tanah menyebabkan pokok itu terus gagah walaupun dilanda angin yang kuat. Begitu jugalah jati diri manusia, perlulah teguh menghadapi ancaman luar yang mencabar. Dalam meningkatkan kerjaya sememang memerlukan perubahan tetapi bukan perubahan jati diri. Cabaran yang bakal dihadapi bukanlah kepalang. Bukan mudah untuk menjadi pohon rimbun yang menjadi tempat berteduh. Asas-asas nilai murni, amalan, mendalami dan mengamalkan segala Rukun Islam dan Rukun Iman perlu diperkukuhkan secara berterusan, konsisten dan istiqamah sejak awal. Sifat amanah, dedikasi dan bertanggungjawab perlu diamalkan sehinggalah mencapai puncak kejayaan kerjaya dan selepas itu kerana akhirnya kita akan dipertanggungjawabkan dia atas segala kejayaan yang dicapai. Kejayaan tulen adalah kejayaan di dunia yang mampu menjamin kejayaan di akhirat. Apalah gunanya memiliki segunung emas kalau nanti tak mampu membeli pondok buruk di akhirat. Bukankah di dunia ini lebih baik memiliki sekeping ‘wang perak’ yang mampu membina sebuah mahligai di syurga.


Cakna Minda: Nornikman Bin Ag. Kati (40166)

 
Sumber: http://njkaunseling.blogspot.com/2014/04/7-strategi-peningkatan-kerjaya.html 

No comments:

Post a Comment