Thursday, May 21, 2015

Isu Pembuangan Bayi

Oleh: Mohamad Izzat Bin Che Omar, 42125


Negara kita telah berkembang pesat sama ada dari segi ekonomi, sosial ataupun politik dalam menongkah arus modenisasi dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu tersohor di pentas dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berbangga dengan kejayaan yang telah ditempa oleh rakyat Malaysia di peringkat dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan masyarakat kita, iaitu masalah pembuangan bayi. Persoalannya, apakah faktor pencetus utama masalah ini kerana ada asap ada apinya? Mengapakah hal ini boleh berlaku?



Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan bahawa kekurangan didikan agama merupakan antara sebab utama kes pembuangan bayi berlaku. Biasanya golongan remaja yang merupakan golongan yang terlibat dalam kes pembuangan bayi. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat dalam gejala negatif, antaranya ialah pergaulan bebas. Remaja yang terlibat dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat- tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka hergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, tamsilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka.

Sehubungan dengan itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah sosial ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang ringan padanya. Secara tidak langsung, remaja perempuan itu juga akan dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku. Masalah ini seharusnya diketengahkan dan diselesaikan dengan menjalankan langkah-langah yang efektif sebelum keadaannya menjadi lebih teruk lalu menggugat masa depan negara. Dalam hal ini, semua pihak haruslah bekerjasama dan menggembleng tenaga untuk menyelesaikan masalah ini kerana bak kata peribahasa Melayu, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

No comments:

Post a Comment