Tuesday, April 12, 2016

KASIH SAYANG DALAM KEHIDUPAN UNIVERSITI

Assalamualaikum dan salam sejahtera Dr Amalia dan rakan-rakan sekalian.

      Saya Hartika binti Hariono dan ini merupakan hasil penulisan blog yang pertama sepanjang seumur hidup saya. Sepanjang saya menuntut pengajian dalam kaunseling di Unimas in, banyak perkara yang saya telah pelajari. Sebelum belajar di Unimas, saya mengambil dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektronik di Politeknik Kuching. Sejujurnya semasa diploma dahulu, saya kurang melibatkan diri dalam aktiviti di Politeknik. Yang ada hanyalah aktiviti kolej sahaja. Dan saya banyak menghabiskan masa di dalam bengkel sahaja. Selain itu juga saya kurang beryakinan diri. Apabila bercakap dengan orang ramai perasaan takut dan cemas datang secara tiba-tiba dan mulalah saya bercakap tak menentu. Menurut Mohd Shariff, M.S. (1999) dipetik dalam Farahiyah, M.H ( 2013) keyakinan diri seseorang itu akan bertambah jika mereka dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran secara teori dan amali tentang apa yang hendak dilakukan. Selepas mendapat tawaran di Unimas, baru lah saya banyak berinteraksi dengan orang luar. Pelbagai aktiviti dan program telah saya sertai sepanjang berada di UNIMAS  ini. 
      Dengan mengikuti pelbagai aktiviti dan program sedikit sebanyak keyakinan diri saya bertambah. Sepanjang dua tahun saya berada di Unimas khususnya keluarga kaunseling, saya banyak menyertai  program yang berfaedah dan manfaat seperti Mr Right and Mrs Right, Kem Kemantapan Diri, SPC dan lain-lain. Program yang pertama kaunseling batch 14/15 membuat program adalah Program We Share We Love We Care. Kami diberikan kepercayaan untuk membuat program di Pusat Pemulihan Dadah atau dikenali sebagai CCRC. Saya telah dipilih untuk membuat modul kerjaya. Sepanjang membuat modul tersebut, banyak cabarannya. Diantaranya adalah memikirkan idea untuk modul dan kurang tidur. Walaupun banyak cabaran dan rintangan, pengalaman sebegini yang tidak dapat dicari lagi selepas habis universiti kelak. Semasa bercakap di hadapan pelajar-pelajar CCRC, saya ada berfikir dan merasakan kurang percaya yang saya boleh berdiri dan bercakap dengan orang yang saya tidak kenal. Disitu saya merasakan tahap keberanian bertambah. Sepanjang melakukan program di CCRC, banyak perkara yang saya sedar dan pelajari. Bagi pendapat saya, mereka perlukan dorongan dan bimbingan daripada masyarakat luar. Saya amat gembira kerana berpeluang untuk membuat program tersebut dan mengenal pelajar-pelajar di CCRC dengan lebih mendalam.
Gambar 1: Semasa membuat program di CCRC untuk kali pertamanya.

Baru-baru ini, kami telah diberikan tugasan untuk menemu bual pelatih-pelatih PULAPOL. Di sana kami diberikan seorang klien setiap seorang. Itulah kali pertamanya saya menemu bual orang awam. Perasaan berdebar itu ada tapi setelah beberapa saat menemu bual klien perasaan berdebar itu hilang. Dengan program Kaunseling ini, saya dapat belajar bercakap di khayalak ramai dan dapat meningkatkan keyakinan diri.
Gambar 2 : Selepas menemu bual pelatih-pelatih di PULAPOL

Pada semester 2 pula saya telah menyertai subteras Siswa Bersamamu. Banyak aktiviti yang saya dapat lakukan untuk masyarakat luar. Antara program yang saya sertai ialah Program Meniti Kasih dan membantu masyarakat di Kampung Sebayor. Diantara aktivivti saya sepanjang berkhidmat di Kampung Sebayor ialah membantu pelajar-pelajar di Kampung Sebayor dengan memberikan buku-buku, membuat aktiviti bersama pelajar dan juga mengecat dewan seberguna kampung tersebut. Selain daripada itu, kami telah menyertai program anak angkat di Kampung Batu Kawa. Saya telah berpeluang untuk kenal lebih rapat dengan penduduk kampung Batu Kawa. Selain daripada program amal, kami juga ada menyertai pertandingan seperti pertandingan bowling dan pertandingan semasa hari Kokurikulum. Pada hari Kokurikulum, kami telah membuat persembahan dengan menyanyikan lagu. Perasaan menyanyi di atas pentas itu agak menakutkan sedikit kerana berdiri di atas pentas yang dikerumuni oleh orang ramai. Perasaan malu dan berdebar-debar itu memang ada di setiap ahli. Walaubagaimanapun, itu adalah kenangan bagi kami ahli Siswa Bersamamu. Menyertai Siswa Bersamamu banyak membantu saya dari segi interaksi masyarakat dari luar, dapat membantu orang lain dan juga saya dapat mengenali banyak rakan yang berlainan fakulti.

Gambar 3: Salah satu aktiviti koq Siswa Bersamamu yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Rusli Ahmad

Semasa saya menetap di Kolej Bunga Raya ataupun dikenali sebagai BRC, saya juga ada menyertai pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak kolej. Antara aktiviti yang saya lakukan sepanjang berada di Kolej Bunga raya ialah sukaneka, senamrobik, BRC Week, silat dan banyak lagi. Walaupun saya hanya menetap di kolej tersebut hanya 2 semester sahaja, tapi banyak aktiviti yang saya lakukan.
Gambar 4 : Diantara aktiviti yang saya lakukan di kolej
Sedikit sebanyak program-program yang saya sertai di universiti ini, banyak membantu saya dari segi interaksi dengan orang ramai, membantu masyarakat luar dan dapat berjumpa dengan pelbagai masyarakat. Selain itu juga saya dapat berkenalan dengan banyak rakan-rakan di universiti ini. Disini saya ingin berkongsi kata-kata motivasi daripada Jim Rohn iaitu jika anda menginginkan sesuatu anda akan menemukan jalannya, jika tidak anda akan menemukan alasan. Setiap benda yang kita inginkan kita hendaklah berusaha untuk mendapatkan. Diharap saya dapat meningkatkan prestasi saya sebagai pelajar kaunseling dan menjadi keluaran yang terbaik untuk UNIMAS dan masyarakat. Apa yang saya dapat katakan adalah kasih sayang yang saya dapat di universiti ini tidak akan saya dapat lupakan sampai bila-bila dan tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca blog saya. Sekian terima kasih.

HARTIKA BINTI HARIONO
46938

Rujukan
Farahiyah, M.H (2013), Keyakinan Diri Pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah Di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Terhadap Ict, Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Anggraini (2010) Kata Bijak Inggris, Kebijaksanaan Jim Rohn
http://katakatabijak.com/tag/jim-rohn/page/3

Monday, April 11, 2016

Kasih Sayang Dalam Kehidupan Universiti

“Kasih Sayang Dalam Kehidupan Universiti”
Assalamualaikum kepada pembaca  dan rakan-rakan blogger.. saya dahulukan tema pada kali ini dengan sepotong ayat daripada ayat suci al-Quran:
   “Dialah Allah, yang Mencipta sekalian makhluk; yang mengadakan (daripada tiada kepada ada), yang Membentuk rupa (makhluk-Nya menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nya nama-nama yang sebaiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan bumi; dan Dialah yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana. ”
(surah al-Hasyr 59:ayat 24)
          Alhamdulillah, Allah telah mencukupkan semua yang kurang, malah di setiap ujian yang berlaku juga ada hikmahnya. Masuk ke alam universiti bermakna saya akan mempunyai keluarga baru. Bukan satu tapi banyak. Bukan sebangsa tetapi pelbagai bangsa. Bukan sekampung tapi seluruh dunia. Alhamdulillah kerana saya masih dapat mempunyai keluarga dimana sahaja. Satu hari nanti, saya akan merindui keluarga ini. Allah, betapa sedihnya hati ini mengingatkan perkara ini kerana saya sangat mencintai keluarga ini kerana-Mu ya Allah.

          Menjadi impian sejak kecil untuk masuk ke alam universiti kerana saya dapat meneroka tempat yang baru. Belum pun terfikir akan makna Kasih Sayang yang akan hadir selepas menjejakkan kaki di Menara gading kononnya. Tidak dapat saya nafikan bahawa insan-insan di sekeliling saya merupakan insan yang saya sayangi tidak kira keluarga kaunseling, kawan serumah yang bertukar-tukar setiap semester, kawan yang berlainan kos, kelab nasyid, kelab olahraga, kelab bola jaring, para pensyarah dan banyak lagi malah termasuklah kawan yang baru berkenalan biarpun seminit. Dalam erti kata yang lebih mudah, kasih sayang dalam kehidupan universiti Malaysia Sarawak. Asalkan mereka berada dengan saya dan mampu berkasih sayang itulah bagi saya perasaan kasih dan sayang. Kasih sayang bukan bermaksud cinta tapi asalkan kita menghargai mereka dan itulah yang saya pegang sehingga hari ini. bak kata pepatah “diam-diam ubi berisi” yang mana mereka ini sentiasa ada dalam doa setiap hari. Kepada pembaca juga, saya juga menyanyangi kamu..
   


Gambar 1: persekitaran unimas dan logo unimas
Sumber dari internet

Selain itu, kasih sayang juga bukan hanya dalam satu universiti sahaja. Pada semester lepas saya telah terpilih menjalani pertukaran selama satu semester di UUM, Kedah. Ini merupakan pengalaman yang takkan saya lupakan. Kita biasa dengar perkenalan sesaat tapi untuk melupakannya memakan masa bertahun-tahun. Mustahil kenangan ini saya lupakan dalam hidup ini malah ia akan sentiasa dikenang sampai bila-bila. Pada ketika menulis blog ini juga hadir perasaan sayu kerana ia seperti mengingati kembali detik-detik manis di sana. Allahu, rindunya pada sahabat-sahabat dan pensyarah di UUM. Semoga mereka sentiasa di bawah jagaan-Mu ya Allah dan diberikan kesihatan serta berjumpa lagi suatu hari nanti. Tidak saya nafikan banyak halangan dan cabaran semasa di sana, hati sentiasa merintih untuk menghabiskan semester di sana kerana ingin cepat balik. Tapi apabila perasaan kasih dan sayang ini hadir, hati kembali merintih lagi kerana mengingatkan waktu perpisahan yang hampir tiba. Kehidupan sebagai pelajar di Universiti Utara Kedah sangat berlainan daripada UNIMAS di mana saya menjalani praktikum dengan pelajar Kaunseling tahun 4 dan dibahagi ke setiap agensi. Agensi yang telah memilih saya adalah Pusat Kaunseling UUM. Pengarah pusat kaunseling, staf dan juga pelajar yang menjalani praktikum yang terdiri pelajar Master sana adalah sebahagian daripada keluarga saya dan saya sangat menyayangi mereka. 




Gambar 2: bersama pelajar praktikum di Pusat Kaunseling, UUM
Dari kiri: kak Mira(master), kak Ana(master), kak Marina(master), abg Awie, voon. Suzi (saya) dan kak Hasanah



Bukan itu sahaja, kepada sahabat-sahabat yang ditugaskan untuk menjaga mobiliti UNIMAS di sana. Mereka banyak memberikan pertolongan kepada saya dan kawan-kawan yang lain bermula sahaja kami melangkah masuk ke UUM. kami belajar bersama, makan bersama sehinggalah bersukan bersama. Mereka lah keluarga UUM yang sentiasa berkasih sayang sehinggalah kini. Suatu hari nanti, jika dipanjangkan umur dan murah rezeki harap kita akan berjumpa lagi. Perpisahan bukan bermakna kasih dan sayang itu akan terputus malah ia boleh disalurkan melalui doa. Sayang hangpa semua…

gambar 3: bersama sahabat-sahabat UUM, keluarga di Terengganu, pensyarah UUM dan juga pengarah Pusat Kaunseling UUM


Akhir kata daripada saya, kasih sayang dalam kehidupan universiti ialah apabila kita mampu menghargai insan-insan disekeliling kita. Hal ini kerana, setiap tahun akan hadir wajah baru dan akan ada yang pergi. Kasih dan sayang ini akan saya hargai sampai bila-bila dan takkan dilupakan kerana mereka adalah yang teristimewa dalam diri saya. Bukan mudah kasih sayang ini hadir kerana universiti menemukan kami di sini. Sayang UNIMAS, sayang UUM, dan sayang semuanya.. semoga kasih sayang ini terus hadir! Lihatlah dengan penuh kasih sayang nescaya kita akan saling berkasih sayang.. UHIBBUKIFILLAH..

Suzilawati binti Kamsun
49130

Reference
Ibnu, R. (2015). Kembali bertuhan.

Monday, April 4, 2016

Kasih Sayang Ibu Sumber Inspirasi Kita

Kasih Sayang Ibu Terhadap Anaknya

Assalamualaikum wbt Rakan Bloggers,

Kasih sayang merupakan fitrah manusia di muka bumi. Bahkan kehidupan kita ini juga merupakan sifat kasih sayang daripada Allah. Keharmoniaan dunia ini juga adalah merupakan kesan kasih sayang di antara kita. Kasih kepada rakan kita, kasih kepada ibu ayah, kasih kepada alam sekeliling dan kasih kepada semua makhluk di muka bumi ini. Dengan adanya kasih sayang di antara kita, kita akan saling menghormati hak antara kita. Jadi, kehidupan kita seharian tidak akan lari dari sifat kasih dan sayang anatara satu sama lain. 

Pada kali ini, saya ingin berkongsi kasih sayang kita terhadap ibu kita. Teringat saya satu hadis Nabi Muhammad SAW:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah, “Siapakah manusia yang berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya? ” Baginda menjawab, “Ibumu.” Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?”Baginda menjawab, “Ibumu.” Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Ayahmu.” (Shahih al-Bukhari, no: 5971) 

Nabi SAW sendiri menekankan untuk kita berbuat baik kepada ibu kita. Dalam konteks mahasiswa, kita seharusnya memberikan yang terbaik kepada ibu kita terutamanya dalam bidang pembelajaran. Besar harapan ibu kita untuk melihat kita berjaya.

 
Pengorbanan Ibu

Masih segar di ingatan pengorbanan seorang ibu yang mahu membuktikan kasih dan sayang kepdada anaknya.

Kasih sayang mereka bermula sebelum kita dikandung...telah subur jiwa berkorban sebelum si anak dikandung dan dilahirkan. Kemudian apabila ibu mula mengandung, kandungan makin membesar hari demi hari, bulan demi bulan...hingga sembilan bulan lebih.ari makin memberat kandungan, dan kandungan itu dibawa ke mana-mana, tidak pernah sedetikpun ditinggalkan, ibu makin hari makin lemah, kadangkala ibu pening, ibu terjatuh, terkadang giginya patah. Tetapi ibu tidak pernah mengeluh atau marahkan si anak dalam kandungan, malah semakin hari semakin kasih ia. Itu semua pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu.

Pengorbanan dan kasih sayang itu juga tidak terkecuali bagi si ayah. Waktu itu ayah akan lebih keras bekerja, menyediakan persediaan dan keperluan bagi anak yang bakal lahir. Pening ia memikirkan kos bersalin, pakaian, susu, tilam, bantal dan lain-lain. Bagi yang kurang berada, terpaksalah berjimat, demi menyambut orang baru yang amat dikasihi, walaupun belum pernah melihat wajah si anak.

Pengorbanan si ibu sekali lagi sewaktu melahirkan si anak, berjuang antara hidup dan mati. Meletakkan nyawanya di hujung rambut, demi kelahiran anaknya yang telah dikandung sembilan bulan. Sakitnya bukan kepalang, hingga dikatakan sakit bersalin itu adalah sakit yang kedua tersakit setelah sakitnya mati.

Hinggakan Rasulullah meletakkan, jika seorang ibu itu mati ketika melahirkan anaknya, dikira sebagai mati syahid.
 

Tanggungjawab Di Kampus

Belajar bersungguh-sungguh merupakan salah satu jalan yang terbaik untuk kita membalas jasa ibu kita. Kadangkala kita leka dalam urusan kita seharian. Contohnya kita tidak memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Pergi ke kelas sekadar menghadirkan diri tanpa memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Adakah perbuatan kita mendapat restu ibu kita? Walaupun kita berada jauh dengan ibu dan keluarga, kita seharusnya melakasanakan amanah ibu kita dengan baik. Setiap hari kita perlu mendoakan ibu bapa kita supaya kita tidak menjadi anak yang tidak mengenang budi. Mujur kita disini mempunyai rakan-rakan yang sama membantu dalam mencapai kejayaan kita. Hikmah dalam persahabatan mampu memberikan kita semangat untuk menjadikan harapan ibu kita terlaksana. 

Di saat kita lemah, rakan datang menghulurkan tangan,
Di saat kita sedih, rakan memberikan keceriaan,
Di saat kita hilang, rakan sentiasa memberikan dorongan.
Inilah rakan tika kita senang dan susah.

Terima kasih rakan-rakan sekalian..
 

Sunday, April 3, 2016

Kasih Sayang dalam Kehidupan Universiti

“Tomorrow is never promised, so today I want all of my friends knowa that how thankful I am that all of you are in my life”
Hai semua, saya Gazy Glory Anak Temeling, pelajar Kaunseling tahun 2. Saya berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi pendapat mengenai “Kasih Sayang dalam Kehidupan Universiti”. Dengan kesempatan ini, saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai pandangan saya mengenai tema yang diberi. Di samping itu, saya turut berkongsi mengenai pengalaman yang pernah saya alami khususnya yang berkaitan dengan persahabatan.


v  Gambar bersama dengan Dewi dan Kasmina

Setiap individu memiliki pandangan tersendiri mengenai kasih sayang. Perkataan kasih sayang, membawa seribu erti kepada setiap individu. Kebiasaannya, perkataan pertama yang menjelma di minda kita apabila bercakap mengenai kasih sayang ini adalah cinta. Sejujurnya, bercerita mengenai kasih sayang, saya pernah terfikir bahawa apa yang akan terjadi sekiranya hidup saya tidak diselubungi oleh kasih sayang khususnya kasih sayang daripada keluarga, rakan-rakan dan orang di sekeliling saya. Pada pandangan saya, tanpa kasih sayang, kehidupan seseorang individu itu tidak bernilai. Kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kasih sayang itu lahir daripada hati yang ikhlas.
Kasih sayang dalam kehidupan universiti, merupakan satu tema yang menarik dan banyak perkara yang kita boleh kongsikan mengenai tajuk ini. Saya amat berminat dengan tajuk sebegini kerana bagi saya, kasih sayang dalam kehidupan universiti ini amat berkait rapat dengan persahabatan. Berjauhan dengan keluarga merupakan salah satu cabaran yang amat berat untuk ditempuhi. Tanpa kehadiran seorang sahabat, suadah pastinya akan sukar bagi saya menempuhi semua dugaan sepanjang bergelar pelajar universiti.  Saya selalu melabelkan diri saya sebagai seorang yang tidak pandai bergaul dengan orang lain dan seorang yang sukar untuk didekati. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna saya langsung tidak mempunyai kawan. Sejujurnya, di universiti, banyak perkara yang telah saya pelajari dan salah satu yang menarik adalah mengenai persahabatan. Saya mengaku bahawa diri saya tidak mempunyai ramai kawan rapat di universiti. Saya hanya mempunyai 2 hingga 4 orang kawan baik. Mengimbas kembali hari pertama saya melangkahkan kaki ke universiti, satu perkara yang bermain di minda saya adalah kawan. Walaupun saya seorang yang agak terasing dan kurang pandai bergaul, saya juga seperti orang lain yang memerlukan seorang kawan untuk berkongsi suka dan duka. Saya bersyukur kerana ditemukan dengan beberapa orang sahabat yang sentiasa menghiburkan saya.
Setiap pertemuan akan melahirkan sebuah kenangan. Terdapat 1001 kenangan saya bersama rakan-rakan saya. Kami bersama-sama tanpa mengira suka dan duka. Bersembang, bergurau dan gelak ketawa menjadi penawar perasaan gundah. Mungkin ini kedengaran agak lawak, tapi bagi saya, rakan saya seperti ubat yang mujarab yang mampu merawat perasaan saya. Walaupun ubat itu hanyalah berbentuk kata-kata, ia merupakan salah satu ubat yang lahir dari hati dan perasaan yang ikhlas. Pendek kata, ia merupakan ubat yang asli dan membuatkan saya mampu tersenyum kembali. Walaupun terdapat pelbagai rintangan yang melanda, saya bangkit dengan sokongan mereka. Kasih sayang seorang sahabat itu sangat berharga. Kasih sayang seorang sahabat ibarat satu cahaya yang menerangi sebuah bilik yang gelap. Saya melabelkan sahabat sebagai satu “keperluan asas” dalam kehidupan manusia. Saya pernah berkata kepada diri sendiri bahawa saya perlu berdikari. Namun, jauh di sudut hati, perasaan sunyi dan terasing mula menyelubungi diri. Saya menipu diri sendiri dan masih tidak jelas dengan maksud berdikari yang sebenarnya. Saya perlukan seorang sahabat bukan sebagai tempat bergantung, tapi sebagai seorang yang sentiasa disisi saya tidak mengira suka dan duka..    
Sejujurnya, perkataan persahabatan ini membawa seribu erti kepada saya. Saya belajar banyak perkara daripada rakan saya. Saya bukan sekadar belajar dari pengalaman hidup sendiri, malah, saya turut belajar daripada pengalaman rakan-rakan saya juga. Setiap hari akan menjadi lebih bermakna dengan kewujudan sahabat. Kami ketawa, berjalan dan makan bersama. Saya tidak pernah bosan dengan semua itu. Saya tidak pernah bosan mendengar cerita-cerita kawan saya walaupun ia merupakan cerita yang sama. Bagi saya, ia merupakan satu perkara yang indah dan tidak semua yang berpeluang mengalami perkara sebegini. Mungkin inilah cara kami menunjukkan perasaan sayang dan saling memerlukan antara satu sama lain. Rakan-rakan saya mengetahui siapa diri saya yang sebenarnya walaupun saya pernah mengatakan bahawa saya agak sukar untuk difahami. Salah satu sebabnya adalah, mereka melihat diri saya bukan hanya menggunakan mata, tetapi juga menggunakan hati. Bagi saya, ini merupakan kunci utama dalam persahabatan. Kita tidak akan mengenali seseorang itu secara mudah hanya dengan menggunakan mata. Buka minda dan buka mata hati supaya kita dapat mengenali seseorang dengan lebih mendalam. Melihat menggunakan mata kasar hanya akan melahirkan sebuah persepsi. Perkara sebegini memang tidak dapat untuk dielakkan, malah, saya sendiri pun pernah mengalaminya. Apabila kita menyedari mengenai kebenaran ini, kita akan mula berfikir dan cuba untuk membuat satu perubahan terhadap diri kita. Sama ada kita berjaya atau tidak, ia bergantung kepada diri kita sendiri. Ibarat aur dengan tebing, itulah perumpamaan yang melambangkan persahabatan yang terjalin antara kami. Saya berjauhan dengan  keluarga dan rakan itulah yang menjadi ibu bapa dan adik ataupun kakak kepada saya. Tanpa kehadiran seorang sahabat, sukar bagi saya untuk menempuhi cabaran di sini
Sebelum mengundur diri, saya ingin berkongsi serba sedikit tentang cara-cara untuk mewujudkan hubungan persahabatan yang positif. Bagi mewujudkan satu hubungan persahabatan yang berkekalan, kita harus saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Kita tidak seharusnya mengambil kesempatan dan berkawan hanya demi untuk memperolehi kesenangan. Hargai dan fahamilah sahabat kita seperti kita ingin dihargai dan difahami. Temanilah mereka khususnya ketika mereka berada dalam keadaan yang susah. Seorang sahabat tidak akan pernah meninggalkan rakannya yang dalam kesusahan. Kedua, belajarlah untuk saling menerima dan memaafkan kesalahan antara satu sama lain. Manusia tidak sempurna dan itulah hakikatnya. Setiap orang akan melakukan kesalahan. Belajar untuk memaafkan kesalahan rakan dan meminta maaf sekiranya kita telah melukakan hati meraka. Sahabat sejati kita adalah seorang yang mengetahui banyak perkara tentang diri kita bahkan yang terburuk sekalipun. Namun, mereka masih setia untuk menemani dan menyayangi kita. Ketiga, sebagai seorang sahabat yang baik, kita haruslah mengambil berat tentang rakan-rakan kita. Kita harus bersama dengan mereka sama ada dalam keadaan suka ataupun duka. Mereka memerlukan seseorang yang bersedia untuk mendengar masalah dan memberi sokongan khususnya dalam kaedaan yang sukar. Bagi saya sendiri, sekiranya saya berada dalam keadaan yang susah, saya amat memerlukan rakan-rakan saya bukan untuk memberi pertolongan dari aspek kewangan, tetapi saya amat memerlukan mereka sebagai tempat untuk bercerita dan berkongsi masalah. Seterusnya, bertolak ansur antara satu sama lain juga merupakan kunci untuk membina sebuah hubungan persahabatan yang utuh. Perbalahan dan perselisihan faham sering wujud dalam hubungan persahabatan. Ia merupakan satu perkara yang agak sukar untuk dielakkan. Walau bagaimanapun, dengan adanya sikap bertolak ansur, sudah pastinya perselisihan itu akan dapat dihidarkan. Akhir sekali, setia dan menepati janji juga penting dalam hubungan persahabatan. Sebagai contohnya, kita tidak seharusnya mendedahkan rahsia rakan sendiri terhadap orang lain. Belajarlah untuk menepati janji dan menjaga rahsia rakan kita. Tanpa nilai sebegini, hubungan persahabatan yang berkekalan itu tidak akan wujud. 
Hanya inilah yang saya dapat kongsikan yang berkaitan dengan kasih sayang dalam kehidupan universiti. Seperti yang telah saya nyatakan, persahabatan membawa seribu erti yang amat bermakna kepada insan yang benar-benar menghargai makna persahabatan. Akhir sekali, belajarlah untuk menghargai supaya kita juga akan dihargai oleh orang lain. Masa berlalu dengan pantas dan kita tidak akan pernah dapat untuk mengembalikannya. 

      gambar bersama Suzie




-Today will never come again-


Hasil karya,
Gazy Glory Anak Temeling



RUJUKAN
Dr. Robert Anthony (2003). Rahsia Membina Keyakinan Diri Sendiri. Albaz Publishing & Distribution SDN.BHD.
http://m.wikihow.com/Be-a-good-friend








  

Kasih Sayang di UNIMAS

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.J
            Saya Noor Asika Binti Yusop atau lebih di kenali lagi dengan panggilan Sika oleh rakan-rakan yang lain. Pada kali ini saya akan berkongsi serba sedikit tentang kasih sayang dalam kehidupan Universiti.
Apa itu kasih sayang? Apa yang kita faham tentang kasih sayang?
Pada pendapat saya kasih-sayang adalah sikap saling menghormati dan mengasihi antara satu sama lain tidak kira bangsa, agama dan status.

Kehidupan universiti yang jauh daripada keluarga memerlukan kita untuk mencari rakan-rakan yang dapat berkongsi suka dan duka dan dapat berkongsi pengalaman pahit dan manis. Pertemuan di universiti yang asalnya bermula dengan hanya kenalan yang bersifat biasa, kemudian menjadi rakan dan kemudian mejadi teman dan akhirnya barulah menjadi sahabat yang mempunyai persefahaman yang bersifat persaudaraan.

Tahun kedua berada di universiti (UNIMAS) sememangnya banyak pengalaman pahit dan manis yang di lalui dan banyak cabaran yang perlu di tempuhi. Namun begitu aku bersyukur kerana dikurniakan rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang sentiasa bersama dan yang sentiasa memahami.


Gambar 1. Rakan-rakan Kaunseling

Terasa begitu cepat masa berlalu. Walaupun kita berasal daripada tempat, bangsa dan agama yang berlainan namun ikatan kasih-sayang yang terjalin menjadikan kita bersaudara. Di UNIMAS aku mempunyai ramai rakan-rakan terutamanya rakan-rakan kaunseling. Selain itu, aku juga mempunyai rakan-rakan dan sahabat yang rapat. Kami terdiri daripada 9 orang. 8 orang merupakan kos kaunseling dan seorang lagi merupakan kos HRD. Shopping, dan makan merupakan hobi kami. JJ. Banyak pengalaman pahit dan manis yang aku lalui bersama mereka. Walaupun kadangkala ada ketidak sefahaman yang berlaku namun ia bukan menjadi penghalang untuk kami bersama.


Gambar 2: Pantai Kg. Alit Saratok, Sarawak

Sahabat memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan kita terutamanya dalam kehidupan di Universiti. Sewaktu kecil kita seringkali mendengar nasihat daripada ibu-bapa dan guru supaya mencari dan bergaul dengan kawan-kawan yang baik. Hal ini kerana sahabat yang baik akan mempengaruhi kita kearah yang lebih baik, namun sahabat yang kurang baik akan mempengaruhi kita sebaliknya. Oleh itu, saya akan berkongsi serba sedikit tentang ciri-ciri sahabat yang baik di Universiti iaitu:-
1. jujur
Sifat jujur dalam perhubungan sangat penting. Walau dalam apa keadaan sekali pun sifat jujur perlu ada, walaupun ianya mungkin akan menyakitkan hati sahabat kita tersebut. Kita perlu menjelaskan dengan lebih baik agar mudah difahami terutamanya jika sesuatu hal tersebut adalah untuk kepentinganya sendiri. Sifat jujur dapat membuatkan hubungan persahabatan bertahan lebih lama dan dapat mengelak daripada salah faham diantara satu sama lain.
2. Kepercayaan
Rahsia, ketakutan dan masalah merupakan hal yang bebas untuk kita luahkan pada sahabat. Kehidupan di Universiti memerlukan kita untuk berkongsi masalah kita dengan sahabat-sahabat yang ada memandangkan kita jauh daripada ahli keluarga. Oleh itu, sahabat yang baik akan sedia untuk mendengar apa yang kita kongsikan dan tidak akan pernah memdedahkannya kepada orang lain.
3. Setia
Kesetian juga merupakan hal yang sangat penting dalam persahabatan. Sahabat yang setia akan selalu ada di belakang kita sebagai pendorong semangat dan sentiasa bersama walau dalam apa keadaan sekalipun.
4. Memberi semangat
Sahabat akan selalu ada dan memberi semangat terutamanya di saat kita merasa ‘down’ . sahabat juga akan selalu tahu potensi diri kita dan selalu percaya bahawa kita mampu melakukan yang terbaik.

Apa yang dapat saya simpulkan, kasih sayang di Universiti sangat penting terutamanya bagi mahasiswa dan mahasiswi yang jauh daripada ahli keluarga. Apabila mempuyai sahabat-sahabat yang memahami sekurang-kurangnya mereka mempunyai ahli keluarga yang baru untuk mendengar dan memberi pendapat tentang sesuatu hal. Oleh itu, kasih sayang di universiti merupakan kasih sayang daripada sahabat-sahabat antara satu sama lain.

Sekian, terima kasih.
Noor Asika Binti Yusop
49851

rujukan:

ciri ciri sahabat yang baik. (2015, july 25). Retrieved april 2, 2016, from ciri ciri sahabat yang baik: http://bmssbj.blogspot.my/2013/03/ciri-ciri-sahabat-yang-baik.html







Kasihku di Sarawak, Sayangku di UNIMAS!


  
Assalamualaikum, Salam Sejahtera & Salam UNIMAS ku sayang !


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah saya Dr. Amalia serta saudari & saudara semua kerana telah sudi memberi peluang kepada saya untuk berkongsi nukilan blog saya pada kali ini. Nukilan blog saya adalah mngenai Kasihku di Sarawak, Sayangku di UNIMAS!

Perkataan kasih sayang sering kita dengar dari bibir ke bibir masyarakat tidak kira umur, bangsa, agama, pegangan mahupun warna kulit ianya sering disebut dari golongan muda , golongan dewasa dan sehinggalah golongan tua. Kasih sayang merupakan suatu fitrah yang amat bernilai dalam diri manusia. Ia adalah suatu aktiviti mental yang rasional dan logikal. Setiap individu hendaklah mengendalikan hubungan dengan penuh tanggungjawab sehingga tercapai matlamat kebahagiaan di dalam kehidupannya. Kebolehan dalam mencurahkan kasih sayang merupakan asas dalam pembinaan keluarga bahagia. Ini kerana setiap anggota keluarga mampu menunjukkan kasih sayang sesama mereka bagi mengeratkan hubungan.

Kasih sayang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Kesediaan mengambil berat, memberi perhatian, tolong-menolong, bertolak ansur dan menjaga kebajikan adalah antara ciri-ciri penting untuk melahirkan masyarakat dan keluarga yang harmoni. Kasih sayang adalah antara sifat yang dituntut oleh Islam. Jika masyarakat kita kurang mengamalkan sikap penyayang bererti mereka tidak mengamalkan Islam secara keseluruhannya.

Bercerita dengan perihal kasih sayang di universiti, kasih sayang teramatlah penting untuk menjamin kesejahteraan perhubungan kita sesama mahasiswa. Kasih sayang yang ingin saya tekankan disini adalah kesediaan kita sebagai mahasiswa universiti untuk mengambil berat, memberi perhatian, tolong-menolong, bertolak ansur dan menjaga kebajikan bersama-sama dengan mahasiswa yang lain. Hal ini adalah untuk melahirkan mahasiswa yang hormani dan aman damai tanpa ada perselisihan faham yang kita tidak mahukan.

Hal ini juga adalah bertujuan untuk kita sebagai mahasiwa merapatkan hubungan dengan keluarga baru kita di universiti. Bercerita tentang keluarga baru di universiti iaitu UNIMAS, saya sangat beruntung dan bersyukur dapat dipertemukan dengan keluarga baru saya iaitu keluarga “3rd Batch Counselling UNIMAS”! Sejujurnya ini adalah kali pertama saya berjauhan dari keluarga saya yang berada di Limbang, dan inilah juga kali pertama saya keluar dari tempat kelahiran saya walaupun sama negeri namun daerah berlainan. Berjauhan dengan keluarga sendiri memang menyedihkan lebih-lebih lagi saya seorang anak perempuan bongsu didalam keluarga yang tidak pernah berjauhan dengan keluarga dalam tempoh yang lama.

Kesedihan ini dapat dibendung dengan kehadiran keluarga baru saya di UNIMAS, kehadiran rakan-rakan sekelas, serumah dan seuniversiti serba sedikit dapat mengubat kerinduan keluarga yang jauh. Hubungan yang erat telah membuat kami semua menjadi satu keluarga yang bahagia walaupun kami berlaian agama, bangsa, jantina serta pegangan kami tetap menjadi sebuah keluarga yang saling kasih mengasahi antara satu sama lain layaknya seperti adik beradik didalam satu rumah “3rd Batch Counselling UNIMAS”.



Sesi Pengambaran Tahun 2, Semester 1.
Gambar 1: Keluarga “3rd Batch Counselling UNIMAS”, UNIMAS


Sesi Pengambaran Tahun 2, Semester 2.
Gambar 2 : Keluarga “3rd Batch Counselling UNIMAS”, UNIMAS

Selain daripada keluarga “3rd Batch Counselling UNIMAS”, saya juga mempunyai sebuah keluarga rapat yang terdiri daripada 9 orang kawan-kawan rapat saya di universiti dari saya masuk sehinggalah sekarang. Saya telah menganggap mereka seperti adik beradik saya kerana dengan merekalah saya meluah, bermanja, meluang masa bersama dan melakukan pelbagai aktiviti bersama walaupun kami berasal dari negeri yang berbeza namun kasih sayang antara kami sangat erat.  Perhubungan kasih sayang antara kami ini telah membuat kami selalu merancang melakukan aktiviti bersama sebagai contoh keluar shopping bersama, pergi bercuti bersama, bersiar-siar di sekitar Kuching bersama serta pelbagai aktiviti lagi kami lakukan bersama. Walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan namun kami akan mencari satu masa yang dimana kami semua free untuk keluar meluangkan masa bersama.

Keluarga yang saya maksudkan adalah keluarga “ Cheersleader ” saya ! terima kasih girls kerana kamu semua sudi menerima saya seperti keluarga kamu walaupun kita berbeza negeri. Saya berharap hubungan keluarga kita lebih erat dengan kasih sayang dari segi kesediaan mengambil berat, memberi perhatian, tolong-menolong, bertolak ansur dan menjaga kebajikan antara satu sama lain. Dengan adanya keluarga ini saya dapat merasa dengan kehadiran seorang kakak dan kehadiran seorang adik yang tidak akan saya dapat rasakan di rumah (anak bongsu) . Saya sangat beruntung dan bersyukur telah dipertemukan dengan kamu semua di Universiti Malaysia Sarawak ini.


Gambar ketika bersiar-siar ke Taman Sahabat, Kuching
                       Gambar 3 : Keluarga “Cheersleader”.


Gambar ketika bercuti ke Saratok
Gambar 4 : Keluarga “Cheersleader”.

Kesimpulanya, kasih sayang yang terjalin antara kami semua tidak kira didalam keluarga “3rd Batch Counselling UNIMAS”, UNIMAS mahupun keluarga “Cheersleader” saya adalah hubungan kasih sayang persahabatan antara kami untuk menjadikan keluarga ini lebih dimeriahkan dan dieratkan dengan kasih sayang yang kami curahkan bersama-sama dalam membina keluarga yang bahagia ini. Sikap mengambil berat, memberi perhatian, tolong-menolong, bertolak ansur dan menjaga kebajikan semua ahli keluarga juga salah satu faktor terbina keluarga ini. Pelbagai pengalaman manis ataupun kenangan pahit yang telah dilalui bersama banyak mengajar kita erti persahabatan yang sejati dan membuatkan kita sehati sejiwa dalam membina keluarga dengan aman dan damai.

Sekian nukilan dari saya, Terima Kasih.


Yang Ikhlas,
Nurul Asyikin Binti Wasli
49956


Rujukan :
Mat Saat Baki.  (1987). Cinta Dan Kasih Sayang – Siri Keluarga Bahagia.Cet.1, Kuala Lumpur: Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)