“Tomorrow is never promised, so today I
want all of my friends knowa that how thankful I am that all of you are in my
life”
Hai
semua, saya Gazy Glory Anak Temeling, pelajar Kaunseling tahun 2. Saya berasa
bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi pendapat mengenai “Kasih Sayang
dalam Kehidupan Universiti”. Dengan kesempatan ini, saya ingin berkongsi serba
sedikit mengenai pandangan saya mengenai tema yang diberi. Di samping itu, saya
turut berkongsi mengenai pengalaman yang pernah saya alami khususnya yang
berkaitan dengan persahabatan.
v Gambar
bersama dengan Dewi dan Kasmina
Setiap
individu memiliki pandangan tersendiri mengenai kasih sayang. Perkataan kasih
sayang, membawa seribu erti kepada setiap individu. Kebiasaannya, perkataan
pertama yang menjelma di minda kita apabila bercakap mengenai kasih sayang ini
adalah cinta. Sejujurnya, bercerita mengenai kasih sayang, saya pernah terfikir
bahawa apa yang akan terjadi sekiranya hidup saya tidak diselubungi oleh kasih
sayang khususnya kasih sayang daripada keluarga, rakan-rakan dan orang di
sekeliling saya. Pada pandangan saya, tanpa kasih sayang, kehidupan seseorang
individu itu tidak bernilai. Kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang
ringgit. Kasih sayang itu lahir daripada hati yang ikhlas.
Kasih
sayang dalam kehidupan universiti, merupakan satu tema yang menarik dan banyak
perkara yang kita boleh kongsikan mengenai tajuk ini. Saya amat berminat dengan
tajuk sebegini kerana bagi saya, kasih sayang dalam kehidupan universiti ini
amat berkait rapat dengan persahabatan. Berjauhan dengan keluarga merupakan
salah satu cabaran yang amat berat untuk ditempuhi. Tanpa kehadiran seorang
sahabat, suadah pastinya akan sukar bagi saya menempuhi semua dugaan sepanjang
bergelar pelajar universiti. Saya selalu
melabelkan diri saya sebagai seorang yang tidak pandai bergaul dengan orang
lain dan seorang yang sukar untuk didekati. Walau bagaimanapun, itu tidak
bermakna saya langsung tidak mempunyai kawan. Sejujurnya, di universiti, banyak
perkara yang telah saya pelajari dan salah satu yang menarik adalah mengenai
persahabatan. Saya mengaku bahawa diri saya tidak mempunyai ramai kawan rapat
di universiti. Saya hanya mempunyai 2 hingga 4 orang kawan baik. Mengimbas
kembali hari pertama saya melangkahkan kaki ke universiti, satu perkara yang bermain
di minda saya adalah kawan. Walaupun saya seorang yang agak terasing dan kurang
pandai bergaul, saya juga seperti orang lain yang memerlukan seorang kawan
untuk berkongsi suka dan duka. Saya bersyukur kerana ditemukan dengan beberapa
orang sahabat yang sentiasa menghiburkan saya.
Setiap
pertemuan akan melahirkan sebuah kenangan. Terdapat 1001 kenangan saya bersama
rakan-rakan saya. Kami bersama-sama tanpa mengira suka dan duka. Bersembang,
bergurau dan gelak ketawa menjadi penawar perasaan gundah. Mungkin ini kedengaran
agak lawak, tapi bagi saya, rakan saya seperti ubat yang mujarab yang mampu
merawat perasaan saya. Walaupun ubat itu hanyalah berbentuk kata-kata, ia
merupakan salah satu ubat yang lahir dari hati dan perasaan yang ikhlas. Pendek
kata, ia merupakan ubat yang asli dan membuatkan saya mampu tersenyum kembali.
Walaupun terdapat pelbagai rintangan yang melanda, saya bangkit dengan sokongan
mereka. Kasih sayang seorang sahabat itu sangat berharga. Kasih sayang seorang
sahabat ibarat satu cahaya yang menerangi sebuah bilik yang gelap. Saya melabelkan
sahabat sebagai satu “keperluan asas” dalam kehidupan manusia. Saya pernah
berkata kepada diri sendiri bahawa saya perlu berdikari. Namun, jauh di sudut
hati, perasaan sunyi dan terasing mula menyelubungi diri. Saya menipu diri
sendiri dan masih tidak jelas dengan maksud berdikari yang sebenarnya. Saya
perlukan seorang sahabat bukan sebagai tempat bergantung, tapi sebagai seorang
yang sentiasa disisi saya tidak mengira suka dan duka..
Sejujurnya,
perkataan persahabatan ini membawa seribu erti kepada saya. Saya belajar banyak
perkara daripada rakan saya. Saya bukan sekadar belajar dari pengalaman hidup
sendiri, malah, saya turut belajar daripada pengalaman rakan-rakan saya juga.
Setiap hari akan menjadi lebih bermakna dengan kewujudan sahabat. Kami ketawa,
berjalan dan makan bersama. Saya tidak pernah bosan dengan semua itu. Saya
tidak pernah bosan mendengar cerita-cerita kawan saya walaupun ia merupakan cerita
yang sama. Bagi saya, ia merupakan satu perkara yang indah dan tidak semua yang
berpeluang mengalami perkara sebegini. Mungkin inilah cara kami menunjukkan
perasaan sayang dan saling memerlukan antara satu sama lain. Rakan-rakan saya
mengetahui siapa diri saya yang sebenarnya walaupun saya pernah mengatakan
bahawa saya agak sukar untuk difahami. Salah satu sebabnya adalah, mereka
melihat diri saya bukan hanya menggunakan mata, tetapi juga menggunakan hati.
Bagi saya, ini merupakan kunci utama dalam persahabatan. Kita tidak akan
mengenali seseorang itu secara mudah hanya dengan menggunakan mata. Buka minda
dan buka mata hati supaya kita dapat mengenali seseorang dengan lebih mendalam.
Melihat menggunakan mata kasar hanya akan melahirkan sebuah persepsi. Perkara
sebegini memang tidak dapat untuk dielakkan, malah, saya sendiri pun pernah
mengalaminya. Apabila kita menyedari mengenai kebenaran ini, kita akan mula
berfikir dan cuba untuk membuat satu perubahan terhadap diri kita. Sama ada
kita berjaya atau tidak, ia bergantung kepada diri kita sendiri. Ibarat aur
dengan tebing, itulah perumpamaan yang melambangkan persahabatan yang terjalin
antara kami. Saya berjauhan dengan
keluarga dan rakan itulah yang menjadi ibu bapa dan adik ataupun kakak
kepada saya. Tanpa kehadiran seorang sahabat, sukar bagi saya untuk menempuhi
cabaran di sini
Sebelum
mengundur diri, saya ingin berkongsi serba sedikit tentang cara-cara untuk
mewujudkan hubungan persahabatan yang positif. Bagi mewujudkan satu hubungan
persahabatan yang berkekalan, kita harus saling memahami dan menghormati antara
satu sama lain. Kita tidak seharusnya mengambil kesempatan dan berkawan hanya
demi untuk memperolehi kesenangan. Hargai dan fahamilah sahabat kita seperti
kita ingin dihargai dan difahami. Temanilah mereka khususnya ketika mereka
berada dalam keadaan yang susah. Seorang sahabat tidak akan pernah meninggalkan
rakannya yang dalam kesusahan. Kedua, belajarlah untuk saling menerima dan
memaafkan kesalahan antara satu sama lain. Manusia tidak sempurna dan itulah
hakikatnya. Setiap orang akan melakukan kesalahan. Belajar untuk memaafkan
kesalahan rakan dan meminta maaf sekiranya kita telah melukakan hati meraka.
Sahabat sejati kita adalah seorang yang mengetahui banyak perkara tentang diri
kita bahkan yang terburuk sekalipun. Namun, mereka masih setia untuk menemani
dan menyayangi kita. Ketiga, sebagai seorang sahabat yang baik, kita haruslah
mengambil berat tentang rakan-rakan kita. Kita harus bersama dengan mereka sama
ada dalam keadaan suka ataupun duka. Mereka memerlukan seseorang yang bersedia
untuk mendengar masalah dan memberi sokongan khususnya dalam kaedaan yang
sukar. Bagi saya sendiri, sekiranya saya berada dalam keadaan yang susah, saya
amat memerlukan rakan-rakan saya bukan untuk memberi pertolongan dari aspek
kewangan, tetapi saya amat memerlukan mereka sebagai tempat untuk bercerita dan
berkongsi masalah. Seterusnya, bertolak ansur antara satu sama lain juga
merupakan kunci untuk membina sebuah hubungan persahabatan yang utuh.
Perbalahan dan perselisihan faham sering wujud dalam hubungan persahabatan. Ia
merupakan satu perkara yang agak sukar untuk dielakkan. Walau bagaimanapun,
dengan adanya sikap bertolak ansur, sudah pastinya perselisihan itu akan dapat
dihidarkan. Akhir sekali, setia dan menepati janji juga penting dalam hubungan
persahabatan. Sebagai contohnya, kita tidak seharusnya mendedahkan rahsia rakan
sendiri terhadap orang lain. Belajarlah untuk menepati janji dan menjaga rahsia
rakan kita. Tanpa nilai sebegini, hubungan persahabatan yang berkekalan itu
tidak akan wujud.
Hanya
inilah yang saya dapat kongsikan yang berkaitan dengan kasih sayang dalam
kehidupan universiti. Seperti yang telah saya nyatakan, persahabatan membawa
seribu erti yang amat bermakna kepada insan yang benar-benar menghargai makna
persahabatan. Akhir sekali, belajarlah untuk menghargai supaya kita juga akan
dihargai oleh orang lain. Masa berlalu dengan pantas dan kita tidak akan pernah
dapat untuk mengembalikannya.
gambar bersama Suzie
-Today
will never come again-
Hasil karya,
Gazy Glory Anak
Temeling
RUJUKAN
Dr. Robert
Anthony (2003). Rahsia Membina Keyakinan
Diri Sendiri. Albaz Publishing & Distribution SDN.BHD.
http://m.wikihow.com/Be-a-good-friend
No comments:
Post a Comment