Thursday, March 20, 2014

Belajar Cara Mudah



Buah cempedak di dalam pagar
Ambil galah tolong jolokan
Saya budak baru belajar
Kalau silap boleh tunjukkan

Adakah anda risau tak dapat belajar? Runsing? Bosan?
Mari semua,saya Madline Bernai ingin berkongsi suatu topik dengan anda semua. Saya berharap ia dapat membantu kalian semua. Topik yang saya nak kongsikan ialah “ Belajar Cara Mudah”.
Jangan sesekali anda menganggap diri anda seorang pelajar yang bodoh sekiranya anda gagal dalam peperiksaan. Kebanyakkan pelajar gagal bukan kerana mempunyai otak  yang  bodoh, tetapi kerana dia tidak menggunakan daya kepintarannya dengan sebaik mungkin, di samping tidak menitik beratkan teknik belajar yang teratur dan berkesan. Bagaimana dengan anda? Pernah gagal? Sebenarnya anda tidak bodoh. Setiap insan mempunyai kebolehannya tersendiri dan begitu juga dengan anda. Cubalah diri anda kenalpasti apa keistimewaan anda. Pasti ada. Belajar adalah suatu kerja yang memerlukan teknik agar ia lebih mudah untuk dikuasai dan ia akan menjadi senang dan menyeronokkan. Mari kita bincangkan beberapa teknik yang dapat membantu diri kita.

1.       Mengatur Jadual

Kenalpasti jumlah masa anda yang perlu diatur. Lebih daripada separuh masa anda terpaksa dihabiskan untuk memenuhi keperluan asasi seperti makan,minum,mandi,tidur dan sebagainya. Bakinya perlu diperuntukkan untuk belajar dan sebahagian lagi untuk aktiviti-aktiviti ringan yang digemari oleh anda seperti rekreasi,berbual,hobi dan lain-lain. Tempoh masa belajar mungkin berbeza dan anda mesti lebih memerlukan masa  yang lama untuk subjek yang susah kerana ia dapat membantu anda lebih memahami subjek tersebut. Subjek yang lebih susah elok dilakukan pada masa segar seperti awal pagi. Walaupun begitu,janganlah anda memaksa diri untuk belajar sampai larut malam; selesaikan sebelum tengah malam.

2.       Tempat yang sesuai

Carilah tempat yang sesuai dan bebas daripada sebarang gangguan yang boleh mencuri perhatian anda. Anda harus memastikan tempat pilihan anda itu dapat menenangkan fikiran kerana fikiran yang tenang saja dapat menerima pelajaran sepenuhnya. Bukan itu saja, minda dan mood juga dapat dipengaruhi oleh cahaya, udara dan cuaca, justeru, tempat  pilihan anda sepatutnya selesa dan jangan berlebihan seperti di atas tilam, kerana sekali kepala diletakkan di bantal…habis! Anda akan terlena…

3.       Memulakan

Isu yang selalu dihadapi di sini ialah untuk mula mendapat mood belajar. Janganlah anda menunggu tanpa melakukan apa-apa, kerana mood tidak akan datang begitu saja. Lakukanlah sesuatu seperti warming up. Antaranya ialah, semak semula nota kuliah berkenaan topik yang sedang anda pelajari sekarang. Anda boleh menulis semula pin-poin penting yang anda ingati kerana ia adalah cara baik untuk mendapat mood untuk belajar.

4.       Tumpuan

Anda harus memberikan penuh tumpuan dalam masa yang sekejap saja, mungkin dalam 10 minit kemudian anda rehat sekejap. Anda boleh meneruskannya sehingga anda dapat memberikan tumpuan yang lebih lama. Anda perlu rehat sebentar selepas seketika belajar (sekitar satu jam). Anda juga boleh membuat nota dengan cuba mengingati apa yang sudah anda pelajari.

5.        Menggarap Buku

Satu strategi yang dikenalpasti berkesan untuk menggarap suatu bahan bacaan ialah SQ3R (survey,question,read,recall dan review). Anda mesti melakukan tinjauan (survey) sepintas lalu untuk mendapatkan gambaran teks yang hendak digarap. Dari sini,timbul soala-soalan(question) dalam kepala anda. Seterusnya barulah anda mula membaca (read) untuk menjawab persoalan tersebut. Selesai membaca anda perlu mengingat semula (recall) poin-poin penting. Akhirnya anda harus semak semula (review) untuk melihat sejauh mana anda dapat petik perkara penting daripada teks. Formula ini dapat digunakan sama ada untuk membaca artikel dan buku.

6.       Membuat Nota
Anda perlu menggunakan formula tadi  iaitu SQ3R  dan nota perlu mengandungi idea-idea utama dan idea-idea penyokong. Nota hendaklah jelas, mudah difahami dan dibaca. Gunakanlah simbol yang sesuai dan sepatutnya konsisten,tidak berubah-ubah. Tambahan lagi,anda juga boleh menggunakan brain-mapping kerana ia amat membantu diri anda dalam memahami apa yang anda pelajari.

7.       Peperiksaan

Ulangkaji secara berkumpulan. Sekurang-kurangnya dua orang pelajar diperlukan untuk melakukannya. Bertemulah dua atau tiga kali seminggu. Sebelum perbincangan,siapkan diri anda dengan membaca tajuk yang berkenaan. Semasa perbincangan,ambil bahagaian secara aktif dengan mendengar pandangan kawan,beri pandangan anda dan bandingkannya. Anda juga perlu melatih diri menyelesaikan jawapan dalam masa yang ditetapkan. Masa ini termasuklah tempoh menyiapkan kerangka, menulis jawapan penuh dan membuat semakan terakhir. Pada  hari-hari terakhir sebelum peperiksaan, lapangkan masa secukupnya untuk rehat dan rekreaksi. Lakukan sesuatu yang menggembirakan. Pastikan anda telah bersiap sedia dengan segala persiapan yang perlu,terutama alat-alat tulis, sehari sebelum peperiksaan. Tidur awal. Justeru,bersiaplah dari awal…..sekarang juga!

Moga anda semua seronok membaca perkongsian tersebut. Jika anda semua ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai info berkenaan, anda boleh membaca buku “Peningkatan Minda” yang disunting oleh Fazilah Idris dan Nur Atiqah Tang Abdullah di CAIS UNIMAS.

No comments:

Post a Comment