Monday, March 28, 2016

Kasih Sayang Dalam Kehidupan Universiti


Sering kali kita mendengar ucapan kasih dan sayang di ungkapkan oleh orang-orang di sekeliling kita, terutama sekali di kalangan orang-orang yang dekat ataupun rapat dengan kita. Dengan kata lain, kita sering mendengar ucapan kasih dan sayang di ungkapkan daripada bibir-bibir orang yang mengasihi kita atau yang mempunyai hubungan atau pertalian dengan kita. Namun dalam perhubungan atau pergaulan kita dengan orang lain, bagaimana kita menilai sama ada seseorang itu mempunyai perasaan kasih sayang dalam dirinya ataupun tidak? Jujur ataupun tidak? Ikhlas ataupun tidak? Sesungguhnya, kasih sayang itu bukan hanya di bibir sahaja tetapi kita dapat melihatnya melalui perbuatan yang bertujuan menunjukkan perasaan betapa kasihnya seseorang individu terhadap orang yang dikasihinya. Sedar ataupun tidak, sejak bayi lagi kita sebenarnya telah di dedahkan atau di ajar perasaan ini melalui curahan kasih dan belaian serta sentuhan dari ibu dan bapa kita. Kita membesar dengan kasih dan dalam masa yang sama kita belajar untuk membahagikan kasih yang kita perolehi kepada orang di sekeliling kita melalui hubungan atau pun pergaulan dengan mereka. Kasih sayang ini tidak terhad kepada manusia sahaja, tapi kepada tumbuhan dan juga haiwan-haiwan yang di ciptakan di muka bumi ini. Orang yang pernah melakukan kejahatan sekalipun mempunyai perasaan kasih sayang ini dalam diri mereka. Adakah ibu yang akan memberikan darah jika anaknya meminta susu? Adakah bapa di dunia ini yang memberikan ular jika anaknya meminta nasi? Baik pembunuh sekalipun, dia tahu memberikan apa yang terbaik untuk orang yang di kasihinya.
Perasaan kasih sayang dalam perhubungan ini selalunya hadir bila seseorang individu itu merasakan kebahagiaan dalam dirinya. Semua orang ingin hidup bahagia. Memang kita sedia maklum bahawa kebahagian sempurna tidak akan wujud selama kita berada di muka bumi ini tetapi ianya tidak mustahil untuk mencapai kebahagiaan yang berpatutan serta mengekalkan keadaan itu sepanjang masa (Julian Melgosa, 2014). Para penyelidik di University of London telah membuat sebuah kajian (Cheng dan Furnham, 2003) mengenai kebahagiaan dengan melibatkan 88 peserta yang terdiri daripada pelajar universiti. Berbagai-bagai data telah di kumpul, hasil daripada keterangan mengenai peristiwa-peristiwa yang menyedihkan dan membahagiakan mereka. Mereka juga di nilai melalui Oxford Happiness Inventory. Setelah pengesahan di buat menerusi analisis statistik, perhubungan antara rakan dan diri sendiri serta cara mereka berinteraksi dengan persekitaran mereka merupakan faktor yang amat penting untuk mencapai kebahagiaan dalam diri.
Bercakap mengenai kehidupan di universiti, menurut pemerhatian saya, hampir separuh daripada golongan pelajar terpaksa berhijrah meninggalkan rumah dan keluarga serta memulakan kehidupan baru di universiti. Bagi yang tidak pernah meninggalkan rumah dan keluarga, sudah semestinya keputusan mereka untuk meninggalkan keluarga dan kampung halaman merupakan keputusan yang agak sukar di lakukan dalam hidup. Namun, apabila sampai suatu masa, setiap orang pasti akan tersenyum puas dengan keputusan yang di ambil dan apabila terkenang kembali masa yang sudah di lalui dengan tabah, pasti satu kebanggaan akan terbit dalam hati masing-masing. Apabila berada di universiti juga, sudah semestinya kita akan menemukan atau membentuk satu “keluarga baru” untuk membahagikan kasih sayang kita kepada orang lain. Dengan kata lain, kita akan menjalin hubungan dengan orang-orang baru yang tidak pernah kita kenal. Apa yang di maksudkan dengan “keluarga baru”? Mari kita sama-sama memahami maksud “keluarga baru” melalui pengalaman saya sepanjang saya bergelar pelajar universiti di UNIMAS.
Berdasarkan pengalaman saya yang masih merupakan seorang penuntut di universiti iaitu UNIMAS, saya telah menemukan 3 buah keluarga baru saya di sini. Keluarga pertama saya di kenali sebagai “3rd Batch Counselling UNIMAS”.

Gambar 1: Keluarga “3rd Batch Counselling UNIMAS”, UNIMAS
Inilah keluarga baru saya yang paling ramai ahli sepanjang saya menjadi penuntut di UNIMAS. Mereka juga merupakan ahli keluarga saya yang paling banyak mengajar saya erti kehidupan, erti persahabatan dan juga erti kasih sayang. Jujur saya katakan, saya belajar banyak perkara baru daripada mereka dan yang paling menyentuh hati dan perasaan saya, ahli keluraga saya ini tidak pernah membiarkan saya dan saling menyokong antara satu sama lain. Walaupun kami datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza-beza dan agama yang berbeza, bangsa yang berbeza, budaya yang berbeza, namun semua itu tidak menjadi penghalang untuk kami menjadi sebuah keluarga dan berbahagi kasih dan sayang kami antara satu sama lain. Keluarga saya ini pada ketika ini hanya tinggal 58 orang ahli sahaja. Ada yang berpindah ke bidang lain, ada yang berpindah ke universiti lain, ada yang menangguhkan pengajian, namun apa pun yang berlaku, saya sentiasa mendoakan apa yang terbaik buat ahli keluarga saya ini serta berdoa agar itu tidak menjadi penyebab untuk keluarga kami bercerai-berai.
Keluarga kedua saya pula di kenali sebagai “MUCASS”. Keluarga saya yang kedua ini terbentuk apabila saya menjadi ahli gereja baru di salah sebuah gereja berdekatan dengan UNIMAS iaitu bertempat di Medan Universiti. Ini juga merupakan keluarga kedua saya yang mempunyai bilangan ahli yang sangat ramai namun bilangan ahli keluarga baru saya yang ini tidak tetap. Apa yang uniknya tentang keluarga saya ini, pelajar yang datang dan bersembahyang di gereja tersebut bukan sahaja daripada UNIMAS tetapi juga daripada universiti, kolej ataupun institut lain seperti IPG, UITM, Kolej Kesihatan Kuching dan lain-lain. Walaupun begitu, kami dapat bergaul dengan baik, menjalinkan persahabatan dengan baik dan telah menjadi suatu keluarga yang unik serta membahagikan kasih sayang yang kami ada di kalangan kami. Kami juga sentiasa mencari peluang untuk melakukan aktiviti bersama-sama dengan tujuan untuk menguatkan iman serta kepercayaan kepada Tuhan sekaligus mempereratkan lagi hubungan yang terjalin di antara kami. Pendek kata, dengan melakukan ini, perasaan kasih sayang di antara kami hadir di sertai dengan kebahagiaan.

Gambar 2 Keluarga “Medan University and College Adventist Student Society” (MUCASS), Medan Universiti

Gambar 3 Keluarga “BFF Forever”, DeTAR
Keluarga saya yang ketiga di kenali sebagai “BFF Forever” dan hanya mempunyai seorang ahli sahaja. Dialah keluarga saya dan dia juga merupakan sahabat saya. Dia bernama Gazy Glory dan berbangsa Iban. Walaupun kami berlainan bangsa namun sejak pertama perkenalan kami, saya dapat merasakan adanya keserasian yang wujud di antara kami dan ini mendorong kami untuk bersahabat baik. Bagi pendapat saya, keluarga itu merupakan suatu medium di mana kita boleh merasakan adanya kasih daripada ayah, kasih daripada ibu, kasih daripada adik-beradik dan kasih daripada saudara-saudara yang lain. Oleh itu, saya boleh katakan bahawa apabila saya bersama dengan dia, saya dapat merasakan semua itu. Tanpa di sedari juga, kami telah berkawan dalam satu jangka masa yang panjang dan puji Tuhan kerana kami tidak pernah bergaduh ataupun salah faham walaupun sekali sepanjang kami berkawan. Inilah keunikan yang hadir sepanjang saya bersama dengan sahabat saya ini dan menjadi keluarga.
Inilah serba sedikit perkongsian pengalaman daripada saya sepanjang saya bergelar penuntut di universiti di mana saya dapat merasakan kasih sayang dalam kehidupan universiti melalui keluarga yang terbentuk. Saya percaya setiap orang mempunyai perasaan kasih sayang itu dan hanya diri sendiri yang dapat menentukan sama ada mahu membahagikan kasih itu kepada orang lain ataupun tidak. Akhir kata daripada saya, jika seseorang ingin membahagikan kasih sayangnya kepada orang lain, dia perlu belajar untuk memupuk perasaan kasih itu dalam dirinya dan belajar untuk menjadikan kebahagian itu sebagai salah satu medium untuk mengongsikan kasih sayang kepada orang sekeliling. Seperti yang di katakan oleh Margaret Lee Runbeck, “Kebahagiaan bukannya sebuah perhentian, tetapi cara anda mengembara”. Sekian daripada saya. =)

Irdiana Dewi Doimin
47015

Rujukan:

Julian Melgosa (2014). Minda Positif: Sebuah panduan praktikal untuk sebarang situasi. Editorial Safeliz, S. L.

5 comments:

  1. Tahniah dewi atas perkongsian yang menarik. Walaupun kita semua daripada latar belakang berbeza jika kasih sayang itu wujud dalam diri, saya percaya masalah masalah lain lebih mudah untuk dielakkan. Itulah keistimewaannya jika rasa kasih sayang itu wujud dalam kehidupan di universiti.

    ReplyDelete
  2. Perkongsian Dewi adalah sgt menarik. Saya amat bersetuju apabila Dewi menyatakan bahawa kasih sayang tidak terbatas kepada orang-orang yang baik sahaja tetapi juga kepada golongan lain seperti pembunuh dan sebagainya. Mereka juga mempunyai keluarga yang menyayangi mereka dan saya yakin bahawa mereka juga amat menyayangi keluarga mereka.

    ReplyDelete
  3. Perkongsian cerita yang menarik. Anda merupakan sahabat yang setia dengan Gazy. Semoga persahabatan kamu akan kekal.

    ReplyDelete
  4. latar belakang, agama, budaya yang berbebeza tidak menjadi penghalang untuk kita berkasih sayang.. malah perbezaan itu la yang melengkapi kita semua..
    " sentiasa meraikan perbezaan antara kita"
    nice writing.. good job Dewi !

    ReplyDelete
  5. Saya sangat tertarik untuk membaca perkongsian Dewi. Semoga hubungan persahabatan yang sudah terjalin akan sentiasa kekal selamanya. :D

    ReplyDelete