Kasih Sayang dalam Kehidupan Universiti
Assalamualaikum Dr. dan rakan-rakan sekalian,
Saya Noor Aini binti Arzat (47970) dan ini merupakan
entri dan perkongsian saya berkenaan kasih sayang dalam kehidupan universiti. J
Pada
pendapat saya, kehidupan di universiti adalah satu kehidupan bermasyarakat dan
pelajar yang tinggal di dalam kehidupan ini tidak dapat lari daripada
bermasyarakat. Sebagai contoh, pelajar-pelajar UNIMAS yang tinggal di dalam
kolej. Bahkan, pelajar-pelajar yang tinggal di luar kampus seperti di
rumah-rumah sewa juga tidak lari daripada kelompok masyarakat. Malahan, bukan
sahaja pelajar-pelajar UNIMAS yang mengalami kehidupan sebegini,
pelajar-pelajar dari institusi lain seperti program matrikulasi, politeknik dan
sekolah berasrama juga mengalami situasi ini. Apabila tinggal di dalam
kehidupan bermasyarakat pula, semestinya kita tidak dapat lari dari menjalinkan
hubungan kasih sayang sesama rakan bahkan sesama pensyarah. Pada sudut
pandangan saya pula, kasih sayang merupakan sesuatu yang sangat subjektif yang sangat
sukar diungkapkan. Kasih sayang mungkin dapat diluahkan melalui kata-kata,
namun ia adalah amat sukar digambarkan dan tentu sekali ia tidak dapat dilihat
kecuali melalui perbuatan dan juga tingkah laku. Terdapat sesetengah manusia
yang amat sukar untuk meluahkan rasa kasih mereka melalui kata-kata atas alasan
ego dan malu.
Berdasarkan
pengalaman saya sendiri semasa terlibat di dalam sesi kelompok semasa berada di
semester 3, sejujurnya sudah terbit perasaan sayang terhadap ahli kelompok yang
lain dan bahkan kepada kaunselor yang membantu kami. Semasa ingin menamatkan
sesi, saya amat berharap agar sesi tersebut tidak berakhir dan saya berharap
agar sesi tersebut dapat dilanjutkan kerana di sepanjang sesi yang kami lalui,
kami semua tidak pernah gagal untuk mendapatkan sesuatu yang baru sama ada
berkenaan diri kami sendiri atau perkara yang melibatkan ahli-ahli kelompok
yang lain. Kami juga tidak pernah gagal untuk mencuba dan mempraktikkan
perkara-perkara yang kami perolehi dalam sesi tersebut walaupun sukar dan
mengambil masa yang agak panjang untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu
intervensi yang dicadangkan. Sesi kelompok tersebut memberi saya semangat untuk
terus mengambil berat dan menghargai rakan-rakan di sekeliling saya.
Pengalaman
kedua saya pula adalah semasa saya tinggal di kolej, sejujurnya semasa berada
pada semester kedua di tahun satu, saya merasa amat sunyi walaupun pada
hakikatnya saya tinggal di dalam kehidupan bermasyarakat di dalam kolej
tersebut. Saya kurang berinteraksi dengan rakan-rakan serumah saya menyebabkan
saya merasa kehilangan dan sejujurnya, saya tidak dapat mewujudkan perasaan
kasih dan sayang terhadap rakan-rakan serumah saya walaupun sedikit dan hal ini
berlainan pula dengan rakan-rakan serumah yang saya miliki kini. Alhamdulillah,
saya bersyukur kerana saya dikurniakan rakan-rakan serumah yang amat memahami
lebih-lebih lagi kerana kami berada di dalam program yang sama. Oleh hal yang
demikian, saya selesa untuk meluahkan perasaan atau kekeliruan yang saya alami
bersama mereka.
Gambar 1: Gambar bersama
rakan-rakan serumah
Apabila
menyebut tentang rakan-rakan, tentu sekali kami sebagai pelajar universiti
tidak dapat lari dari rakan-rakan kaunseling atau rakan-rakan sekelas kami.
Berdasarkan pemerhatian saya selama berada di dalam program ini iaitu selama
hampir dua tahun, saya merasa amat bangga dan bersyukur kerana hubungan kami
semua kelihatan amat erat dan kami selesa menceritakan permasalahan kami
walaupun tidak secara keseluruhan. Hal ini berkemungkinan kerana rasa percaya
yang wujud dalam diri kami yang telah dipupuk semenjak berada di semester 1
lagi.
Gambar 2: Gambar bersama rakan
sekelas
Perkara
terakhir yang menjadi “highlight” saya pada entri ini adalah kasih sayang
terhadap Tuhan tidak kira di mana kita berada sama ada di dalam atau di luar
universiti. Namun begitu, saya akan memfokuskan hal ini di dalam skop yang
kecil iaitu di dalam universiti. Bayangkan andai kita tidak hidup di dalam
kasih sayang dan rahmat Tuhan. Apa yang akan terjadi kepada kita? Pada
pandangan saya, kasih sayang adalah motivasi yang sangat kuat untuk kita
melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita semua sebagai pelajar datang ke
universiti dan belajar dengan bersungguh-sungguh kerana menyayangi ibu bapa
kita. Bagaimana pula dengan Tuhan? Tentu sekali ia mempunyai konsep yang sama
dan oleh sebab itu, selain melimpahkan kasih sayang kepada sesama manusia, kita
juga perlu memupuk perasaan cinta yang sedalam-dalamnya terhadap Tuhan yang
Maha Mencipta. Bayangkan andai rahmat dan kasih sayang Tuhan tidak sampai
kepada kita semasa kita sedang menuntut ilmu di universiti. Saya yakin kita
semua akan menghadapi masalah yang sangat besar dalam menerima ilmu.
Tuhan
mengajar kita untuk berkasih sayang dan melalui kursus kaunseling, saya yakin
bahawa kita semua dapat mewujudkan perasaan sayang kita sesama manusia dengan
mudah melalui profesion kita yang Insyaallah dapat membantu ramai manusia yang
memerlukan pertolongan di luar sana. Atas kasih sayang Tuhan kita berada di
tempat kita dan atas kasih sayang Tuhan juga kita berada di universiti
mewujudkan dan melimpahkan kasih sayang sesama manusia.
Gambar 3: Gambar Hiasan
Rasulullah
SAW sendiri menegaskan tentang kepentingan berkasih sayang melalui sabdanya
yang membawa maksud “Demi diriku yang berada di tangan-Nya, kamu tidak akan
masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dinamakan beriman sehingga
kamu berkasih sayang.” Ini menunjukkan bahawa dalam Islam sendiri manusia amat
dituntut untuk berkasih sayang tidak kira sesama manusia, haiwan atau alam
semula jadi. Oleh hal yang demikian, terdapat 3 elemen kasih sayang yang perlu
diwujudkan seandainya kasih sayang ingin dibina dalam kalangan masyarakat
terutama dalam kalangan masyarakat universiti.
Elemen
yang pertama ialah kasih dan sayang itu sendiri. Andai kasih sayang ingin
dibina dalam kalangan rakan-rakan dan warga universiti, kasih dan sayang
perlulah diwujudkan. Untuk mewujudkan perasaan kasih dan sayang pula, setiap
individu yang digelar warga universiti perlulah mewujudkan sikap saling
membantu tidak kira bantuan atau pertolongan yang diberikan itu besar atau
kecil. Bantuan yang kecil yang dihulurkan juga kadangkala menimbulkan perasaan
berterima kasih yang banyak dan seterusnya mewujudkan perasaan kasih sayang.
Tidak sukar untuk menghulurkan bantuan semasa berada di dalam universiti.
Sebagai contoh, membantu pensyarah atau rakan-rakan mengangkat barang juga merupakan
satu bentuk bantuan.
Bagi
pelajar-pelajar kaunseling seperti kita semua pula, sudah tentu perkataan
“membantu” itu sudah sinonim dengan diri kita kerana tugas seorang kaunselor
sudah tentu adalah untuk membantu kliennya. Sifat menolong ini secara tidak
langsung telah menepati elemen kedua dalam membina kasih sayang dalam kalangan
warga universiti iaitu simpati atau belas kasihan. Dengan adanya perasaan
simpati, sudah tentu seseorang individu akan menghulurkan bantuan kepada orang
lain dan seterusnya mewujudkan perasaan kasih sayang. Elemen ketiga yang perlu
diwujudkan untuk memupuk kasih sayang dalam kalangan warga universiti pula
ialah penggunaan akal dan bukan nafsu atau emosi semasa membuat sebarang
keputusan.
Pergaduhan
atau salah faham sesama rakan adalah perkara biasa seandainya diri kita digelar
sebagai seorang rakan atau sahabat. Namun, sikap bersangka buruk perlulah
dielakkan untuk mengekalkan perasaan kasih sayang yang wujud sesama rakan. Hal ini
kerana, bersangka buruk membawa kesan yang amat negatif dalam diri sesorang dan
seterusnya boleh menyebabkan perbalahan yang besar yang mungkin boleh
mengundang perasaan dendam dan tidak berpuas hati dalam diri seseorang individu
terhadap individu yang lain. Oleh yang demikian, 3 elemen kasih sayang yang
telah dibincangkan di atas perlulah dicontohi dan dijadikan titik panduan yang
positif bagi kita semua dengan tujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan kasih
sayang yang telah dibina.
Sekian sahaja entri saya, terima kasih. J
Rujukan:
Siti
Norlina, M., Ahmad Kilani, M., & Zulkifli, H. (2004). Budaya penyayang
dalam kehidupan masyarakat Islam:
Antara teori dan praktis. Retrieved from repo.uum.edu.my/1804/1/7.pdf
Rasa kasih sayang dan taat kita pada Pencipta kita yang utama. Dalam kita berkasih sayang dengan orang yang ada di sekeliling kita, kita perlu sedar akan kurniaan perasaan tersebut. Siapa yang memberi kita rasa sebegitu. oleh itu, hargailah setiap apa yang dikurniakan oleh kita. Tidak semua orang akan merasakan apa yang kita rasa.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteTahniah aini atas perkongsian yang sangat menarik.dalam entri aini ada menyatakan beberapa perkara yang mungkin kita dah lupa. Sebagai contoh,kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat di universiti. Kita sering lupa apabila terlalu sibuk dengan aktiviti seharian. Sedangkan, kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat di universiti adalah sangat penting untuk memupuk semangat untuk saling berkasih sayang antara pelajar.
ReplyDelete