Friday, March 18, 2016

Persahabatan Jalinan Kasih Sayang di Universiti

Asssalamualaikum kepada semua yang mengenali diri Athirah atau tidak mengenali diri Athirah J
Selamat berkenalan kepada semua. Sesungguhnya kita mempunyai keindahan diri yang tersendiri
J

Apa yang saya rasa dan fikir pada detik ini adalah kesyukuran. Bersyukurnya saya kerana beradanya saya di sini. Di sini? Ya di sini di alam universiti yang mempunyai pelbagai corak, cerita, suka, duka, tangis, tawa. Ya di sini juga tempat mentarbiyah diri dari seorang yang hanya tahu melalaikan diri dengan kesenangan, di sini tempatnya saya tersedar dari kealpaan dengan keseronokan hiburan yang hanya meletakkan diri di tempat yang bahaya dan  di sini jugalah tempat lahirnya sebuah cinta.

Wahai sahabat, kita tidak kenal sebelum ini, tidak tahu asal usul antara kita. Pertemuan di universiti adalah titik permulaan jambatan persahabatan kita kepada kasih sayang. Percayalah…Pengalaman ini tidak mungkin akan dirasai oleh semua orang. Pahit manis hanya antara kita yang tahu. Ukhwah yang terjalin antara kita tidak mungkin akan berlaku jika tidaknya kita berada di kehidupan universiti ini. Begitu juga dengan pensyarah-pensyarah yang bertungkus lumus mencurahkan ilmu kepada kita untuk menjadi seorang yang berilmu. Itulah bukti kasih sayang mereka kepada kita.



Gambar bersama sri kandi Gayong UNIMAS

Matarun, (2010) mengatakan bahawa hargailah sementara masih ada, belum terlambat lagi untuk perbetulkan apa yang salah. Tolong.. tidak perlu dibuang jika ia sudah rosak namun perbaiki dengan penuh berhemah dengan kemahiran yang ada pada setiap diri kita. Penerimaan antara kita memperlihatkan nilai kasih sayang yang telah kita bina sejak berada di universiti. Di sini tempat saya mengenal erti kehidupan, betapa manisnya jika kita dapat merasai kasih sayang antara kita. Kita yang membuat pilihan..





Terdapat beberapa cara yang boleh memupuk kasih sayang di antara kita sewaktu di universiti. Gunakan masa yang tidak lama ini untuk memupuk kasih sayang di antara kita. Ini kerana dirimu begitu berharga untuk disayangi dan kerana kita mampu untuk mencipta sebuah memori yang indah melalui ikatan kasih sayang di sini, di Universiti Malaysia Sarawak.

 Sentiasa bersikap jujur antara satu sama lain
Tidak mudah untuk jujur walaupun kejujuran itu kadang kalanya perit namun ia mengambil masa yang sedikit untuk sembuh kerana dengan kejujuran kita dapat melepaskan apa yang terbuku di hati namun bersikap jujurlah dengan hikmah dan penuh bersopan santun kerana setiap penerimaan kejujuran akan jadi lebih indah dengan kata-kata yang baik.

Sentiasa bersikap terbuka dan tidak bersangka buruk
Manusia  terkadang mempunyai pemikiran yang negatif terhadap tindakan sesuatu perkara. Sebagai contoh kita terlihat seorang rakan dan kita sewaktu ingin ke kelas dan kita melemparkan senyuman kepadanya namun senyuman kita tidak dibalas mungkin ketika itu kita akan berkata kepada diri kita adakah kita melakukan apa-apa kesalahan kepadanya?  Pada waktu ini sikap keterbukaan amat penting mungkin rakan kita tadi mempunyai masalah peribadi yang sedang bermain-main difikirannya. Dengan sikap terbuka kita akan merasakan kasih sayang menjadi akar tunjang kepada persahabatan.

Ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara
Hargai seseorang seperti mana kamu ingin dihargai, sayangi seseorang sepertimana kamu ingin disayangi. Tidak perlu bermuka-muka dan tidak perlu bermasam muka jika melakukan sesuatu perkara.  Belajar ikhlas diri dan perbetulkan niat kita setiap masa jika kita terleka. Apa yang terjadi sentiasa ada hikmah. Pandanglah sesuatu perkara dengan keihklasan dan kasih sayang kita akan dapat merasai perbezaannya.

Memaafkan diri dan orang lain
Sebagai manusia kita tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan percayalah dengan melakukan kesilapan kita akan tersedar dan kita akan perbetulkan kesilapan itu untuk menjadi lebih baik. Tidak salah melakukan kesilapan maafkan diri anda dan orang lain dan jangan ulang kesilapan yang sama perbaiki semampu yang kita boleh.


Terdapat banyak lagi perkara yang kita boleh lakukan untuk memupuk kasih sayang ia terpulang kepada kita sama ada ingin melihat kasih sayang itu di tahap yang kita inginkan. Kita yang melakukan perubahan itu kerana tidak lain yang berada di universiti selain kita. Saya percaya dengan adanya kasih sayang di universiti ini kita tidak akan mudah cepat melatah kerana kita berada di landasan ilmu yang menuntut kita untuk berfikir dan sentiasa berpandangan jauh. Oleh itu, saya berharap agar kita mampu mencapai matlamat kita bersama tujuan utama kita masuk ke universiti dengan disulami ikatan kasih sayang yang abadi untuk kita kenang sehingga akhir hayat nanti.





Penuh kasih sayang,
Athi@athirah



Oleh: Siti Nor Athirah binti Mohamad 48989
Nama Pensyarah : Dr. Amalia Madihie
Subjek : KMC 2053 Makmal Kaunseling II                                        
Fskpm batch 3 sesi 2013/2014 pada jam 1.12 petang 16/3/2016

Rujukan

Matarun, T (2013, July 13).  Jalinan persahabatan jambatan kasih sayang, tanpa sahabat 
             siapalah aku. Retrieved from http://tokwanmatarun.blogspot.my/2013/07/jalinan-
             persahabatan-jambatan-kasih.html

Thursday, March 17, 2016

Kasih Sayang dalam Kehidupan Universiti

Kasih Sayang dalam Kehidupan Universiti
Assalamualaikum Dr. dan rakan-rakan sekalian,
Saya Noor Aini binti Arzat (47970) dan ini merupakan entri dan perkongsian saya berkenaan kasih sayang dalam kehidupan universiti. J
            Pada pendapat saya, kehidupan di universiti adalah satu kehidupan bermasyarakat dan pelajar yang tinggal di dalam kehidupan ini tidak dapat lari daripada bermasyarakat. Sebagai contoh, pelajar-pelajar UNIMAS yang tinggal di dalam kolej. Bahkan, pelajar-pelajar yang tinggal di luar kampus seperti di rumah-rumah sewa juga tidak lari daripada kelompok masyarakat. Malahan, bukan sahaja pelajar-pelajar UNIMAS yang mengalami kehidupan sebegini, pelajar-pelajar dari institusi lain seperti program matrikulasi, politeknik dan sekolah berasrama juga mengalami situasi ini. Apabila tinggal di dalam kehidupan bermasyarakat pula, semestinya kita tidak dapat lari dari menjalinkan hubungan kasih sayang sesama rakan bahkan sesama pensyarah. Pada sudut pandangan saya pula, kasih sayang merupakan sesuatu yang sangat subjektif yang sangat sukar diungkapkan. Kasih sayang mungkin dapat diluahkan melalui kata-kata, namun ia adalah amat sukar digambarkan dan tentu sekali ia tidak dapat dilihat kecuali melalui perbuatan dan juga tingkah laku. Terdapat sesetengah manusia yang amat sukar untuk meluahkan rasa kasih mereka melalui kata-kata atas alasan ego dan malu.
            Berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa terlibat di dalam sesi kelompok semasa berada di semester 3, sejujurnya sudah terbit perasaan sayang terhadap ahli kelompok yang lain dan bahkan kepada kaunselor yang membantu kami. Semasa ingin menamatkan sesi, saya amat berharap agar sesi tersebut tidak berakhir dan saya berharap agar sesi tersebut dapat dilanjutkan kerana di sepanjang sesi yang kami lalui, kami semua tidak pernah gagal untuk mendapatkan sesuatu yang baru sama ada berkenaan diri kami sendiri atau perkara yang melibatkan ahli-ahli kelompok yang lain. Kami juga tidak pernah gagal untuk mencuba dan mempraktikkan perkara-perkara yang kami perolehi dalam sesi tersebut walaupun sukar dan mengambil masa yang agak panjang untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu intervensi yang dicadangkan. Sesi kelompok tersebut memberi saya semangat untuk terus mengambil berat dan menghargai rakan-rakan di sekeliling saya.
            Pengalaman kedua saya pula adalah semasa saya tinggal di kolej, sejujurnya semasa berada pada semester kedua di tahun satu, saya merasa amat sunyi walaupun pada hakikatnya saya tinggal di dalam kehidupan bermasyarakat di dalam kolej tersebut. Saya kurang berinteraksi dengan rakan-rakan serumah saya menyebabkan saya merasa kehilangan dan sejujurnya, saya tidak dapat mewujudkan perasaan kasih dan sayang terhadap rakan-rakan serumah saya walaupun sedikit dan hal ini berlainan pula dengan rakan-rakan serumah yang saya miliki kini. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya dikurniakan rakan-rakan serumah yang amat memahami lebih-lebih lagi kerana kami berada di dalam program yang sama. Oleh hal yang demikian, saya selesa untuk meluahkan perasaan atau kekeliruan yang saya alami bersama mereka.

Gambar 1: Gambar bersama rakan-rakan serumah
            Apabila menyebut tentang rakan-rakan, tentu sekali kami sebagai pelajar universiti tidak dapat lari dari rakan-rakan kaunseling atau rakan-rakan sekelas kami. Berdasarkan pemerhatian saya selama berada di dalam program ini iaitu selama hampir dua tahun, saya merasa amat bangga dan bersyukur kerana hubungan kami semua kelihatan amat erat dan kami selesa menceritakan permasalahan kami walaupun tidak secara keseluruhan. Hal ini berkemungkinan kerana rasa percaya yang wujud dalam diri kami yang telah dipupuk semenjak berada di semester 1 lagi.

Gambar 2: Gambar bersama rakan sekelas
            Perkara terakhir yang menjadi “highlight” saya pada entri ini adalah kasih sayang terhadap Tuhan tidak kira di mana kita berada sama ada di dalam atau di luar universiti. Namun begitu, saya akan memfokuskan hal ini di dalam skop yang kecil iaitu di dalam universiti. Bayangkan andai kita tidak hidup di dalam kasih sayang dan rahmat Tuhan. Apa yang akan terjadi kepada kita? Pada pandangan saya, kasih sayang adalah motivasi yang sangat kuat untuk kita melakukan sesuatu perkara. Sebagai contoh, kita semua sebagai pelajar datang ke universiti dan belajar dengan bersungguh-sungguh kerana menyayangi ibu bapa kita. Bagaimana pula dengan Tuhan? Tentu sekali ia mempunyai konsep yang sama dan oleh sebab itu, selain melimpahkan kasih sayang kepada sesama manusia, kita juga perlu memupuk perasaan cinta yang sedalam-dalamnya terhadap Tuhan yang Maha Mencipta. Bayangkan andai rahmat dan kasih sayang Tuhan tidak sampai kepada kita semasa kita sedang menuntut ilmu di universiti. Saya yakin kita semua akan menghadapi masalah yang sangat besar dalam menerima ilmu.
            Tuhan mengajar kita untuk berkasih sayang dan melalui kursus kaunseling, saya yakin bahawa kita semua dapat mewujudkan perasaan sayang kita sesama manusia dengan mudah melalui profesion kita yang Insyaallah dapat membantu ramai manusia yang memerlukan pertolongan di luar sana. Atas kasih sayang Tuhan kita berada di tempat kita dan atas kasih sayang Tuhan juga kita berada di universiti mewujudkan dan melimpahkan kasih sayang sesama manusia.

Gambar 3: Gambar Hiasan
            Rasulullah SAW sendiri menegaskan tentang kepentingan berkasih sayang melalui sabdanya yang membawa maksud “Demi diriku yang berada di tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dinamakan beriman sehingga kamu berkasih sayang.” Ini menunjukkan bahawa dalam Islam sendiri manusia amat dituntut untuk berkasih sayang tidak kira sesama manusia, haiwan atau alam semula jadi. Oleh hal yang demikian, terdapat 3 elemen kasih sayang yang perlu diwujudkan seandainya kasih sayang ingin dibina dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan masyarakat universiti.
            Elemen yang pertama ialah kasih dan sayang itu sendiri. Andai kasih sayang ingin dibina dalam kalangan rakan-rakan dan warga universiti, kasih dan sayang perlulah diwujudkan. Untuk mewujudkan perasaan kasih dan sayang pula, setiap individu yang digelar warga universiti perlulah mewujudkan sikap saling membantu tidak kira bantuan atau pertolongan yang diberikan itu besar atau kecil. Bantuan yang kecil yang dihulurkan juga kadangkala menimbulkan perasaan berterima kasih yang banyak dan seterusnya mewujudkan perasaan kasih sayang. Tidak sukar untuk menghulurkan bantuan semasa berada di dalam universiti. Sebagai contoh, membantu pensyarah atau rakan-rakan mengangkat barang juga merupakan satu bentuk bantuan.
            Bagi pelajar-pelajar kaunseling seperti kita semua pula, sudah tentu perkataan “membantu” itu sudah sinonim dengan diri kita kerana tugas seorang kaunselor sudah tentu adalah untuk membantu kliennya. Sifat menolong ini secara tidak langsung telah menepati elemen kedua dalam membina kasih sayang dalam kalangan warga universiti iaitu simpati atau belas kasihan. Dengan adanya perasaan simpati, sudah tentu seseorang individu akan menghulurkan bantuan kepada orang lain dan seterusnya mewujudkan perasaan kasih sayang. Elemen ketiga yang perlu diwujudkan untuk memupuk kasih sayang dalam kalangan warga universiti pula ialah penggunaan akal dan bukan nafsu atau emosi semasa membuat sebarang keputusan.
            Pergaduhan atau salah faham sesama rakan adalah perkara biasa seandainya diri kita digelar sebagai seorang rakan atau sahabat. Namun, sikap bersangka buruk perlulah dielakkan untuk mengekalkan perasaan kasih sayang yang wujud sesama rakan. Hal ini kerana, bersangka buruk membawa kesan yang amat negatif dalam diri sesorang dan seterusnya boleh menyebabkan perbalahan yang besar yang mungkin boleh mengundang perasaan dendam dan tidak berpuas hati dalam diri seseorang individu terhadap individu yang lain. Oleh yang demikian, 3 elemen kasih sayang yang telah dibincangkan di atas perlulah dicontohi dan dijadikan titik panduan yang positif bagi kita semua dengan tujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan kasih sayang yang telah dibina.

Sekian sahaja entri saya, terima kasih. J











Rujukan:

Siti Norlina, M., Ahmad Kilani, M., & Zulkifli, H. (2004). Budaya penyayang dalam         kehidupan masyarakat Islam: Antara teori dan praktis. Retrieved from         repo.uum.edu.my/1804/1/7.pdf