Monday, March 28, 2016

Kasih Sayang Dalam Kehidupan Universiti


Sering kali kita mendengar ucapan kasih dan sayang di ungkapkan oleh orang-orang di sekeliling kita, terutama sekali di kalangan orang-orang yang dekat ataupun rapat dengan kita. Dengan kata lain, kita sering mendengar ucapan kasih dan sayang di ungkapkan daripada bibir-bibir orang yang mengasihi kita atau yang mempunyai hubungan atau pertalian dengan kita. Namun dalam perhubungan atau pergaulan kita dengan orang lain, bagaimana kita menilai sama ada seseorang itu mempunyai perasaan kasih sayang dalam dirinya ataupun tidak? Jujur ataupun tidak? Ikhlas ataupun tidak? Sesungguhnya, kasih sayang itu bukan hanya di bibir sahaja tetapi kita dapat melihatnya melalui perbuatan yang bertujuan menunjukkan perasaan betapa kasihnya seseorang individu terhadap orang yang dikasihinya. Sedar ataupun tidak, sejak bayi lagi kita sebenarnya telah di dedahkan atau di ajar perasaan ini melalui curahan kasih dan belaian serta sentuhan dari ibu dan bapa kita. Kita membesar dengan kasih dan dalam masa yang sama kita belajar untuk membahagikan kasih yang kita perolehi kepada orang di sekeliling kita melalui hubungan atau pun pergaulan dengan mereka. Kasih sayang ini tidak terhad kepada manusia sahaja, tapi kepada tumbuhan dan juga haiwan-haiwan yang di ciptakan di muka bumi ini. Orang yang pernah melakukan kejahatan sekalipun mempunyai perasaan kasih sayang ini dalam diri mereka. Adakah ibu yang akan memberikan darah jika anaknya meminta susu? Adakah bapa di dunia ini yang memberikan ular jika anaknya meminta nasi? Baik pembunuh sekalipun, dia tahu memberikan apa yang terbaik untuk orang yang di kasihinya.
Perasaan kasih sayang dalam perhubungan ini selalunya hadir bila seseorang individu itu merasakan kebahagiaan dalam dirinya. Semua orang ingin hidup bahagia. Memang kita sedia maklum bahawa kebahagian sempurna tidak akan wujud selama kita berada di muka bumi ini tetapi ianya tidak mustahil untuk mencapai kebahagiaan yang berpatutan serta mengekalkan keadaan itu sepanjang masa (Julian Melgosa, 2014). Para penyelidik di University of London telah membuat sebuah kajian (Cheng dan Furnham, 2003) mengenai kebahagiaan dengan melibatkan 88 peserta yang terdiri daripada pelajar universiti. Berbagai-bagai data telah di kumpul, hasil daripada keterangan mengenai peristiwa-peristiwa yang menyedihkan dan membahagiakan mereka. Mereka juga di nilai melalui Oxford Happiness Inventory. Setelah pengesahan di buat menerusi analisis statistik, perhubungan antara rakan dan diri sendiri serta cara mereka berinteraksi dengan persekitaran mereka merupakan faktor yang amat penting untuk mencapai kebahagiaan dalam diri.
Bercakap mengenai kehidupan di universiti, menurut pemerhatian saya, hampir separuh daripada golongan pelajar terpaksa berhijrah meninggalkan rumah dan keluarga serta memulakan kehidupan baru di universiti. Bagi yang tidak pernah meninggalkan rumah dan keluarga, sudah semestinya keputusan mereka untuk meninggalkan keluarga dan kampung halaman merupakan keputusan yang agak sukar di lakukan dalam hidup. Namun, apabila sampai suatu masa, setiap orang pasti akan tersenyum puas dengan keputusan yang di ambil dan apabila terkenang kembali masa yang sudah di lalui dengan tabah, pasti satu kebanggaan akan terbit dalam hati masing-masing. Apabila berada di universiti juga, sudah semestinya kita akan menemukan atau membentuk satu “keluarga baru” untuk membahagikan kasih sayang kita kepada orang lain. Dengan kata lain, kita akan menjalin hubungan dengan orang-orang baru yang tidak pernah kita kenal. Apa yang di maksudkan dengan “keluarga baru”? Mari kita sama-sama memahami maksud “keluarga baru” melalui pengalaman saya sepanjang saya bergelar pelajar universiti di UNIMAS.
Berdasarkan pengalaman saya yang masih merupakan seorang penuntut di universiti iaitu UNIMAS, saya telah menemukan 3 buah keluarga baru saya di sini. Keluarga pertama saya di kenali sebagai “3rd Batch Counselling UNIMAS”.

Gambar 1: Keluarga “3rd Batch Counselling UNIMAS”, UNIMAS
Inilah keluarga baru saya yang paling ramai ahli sepanjang saya menjadi penuntut di UNIMAS. Mereka juga merupakan ahli keluarga saya yang paling banyak mengajar saya erti kehidupan, erti persahabatan dan juga erti kasih sayang. Jujur saya katakan, saya belajar banyak perkara baru daripada mereka dan yang paling menyentuh hati dan perasaan saya, ahli keluraga saya ini tidak pernah membiarkan saya dan saling menyokong antara satu sama lain. Walaupun kami datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza-beza dan agama yang berbeza, bangsa yang berbeza, budaya yang berbeza, namun semua itu tidak menjadi penghalang untuk kami menjadi sebuah keluarga dan berbahagi kasih dan sayang kami antara satu sama lain. Keluarga saya ini pada ketika ini hanya tinggal 58 orang ahli sahaja. Ada yang berpindah ke bidang lain, ada yang berpindah ke universiti lain, ada yang menangguhkan pengajian, namun apa pun yang berlaku, saya sentiasa mendoakan apa yang terbaik buat ahli keluarga saya ini serta berdoa agar itu tidak menjadi penyebab untuk keluarga kami bercerai-berai.
Keluarga kedua saya pula di kenali sebagai “MUCASS”. Keluarga saya yang kedua ini terbentuk apabila saya menjadi ahli gereja baru di salah sebuah gereja berdekatan dengan UNIMAS iaitu bertempat di Medan Universiti. Ini juga merupakan keluarga kedua saya yang mempunyai bilangan ahli yang sangat ramai namun bilangan ahli keluarga baru saya yang ini tidak tetap. Apa yang uniknya tentang keluarga saya ini, pelajar yang datang dan bersembahyang di gereja tersebut bukan sahaja daripada UNIMAS tetapi juga daripada universiti, kolej ataupun institut lain seperti IPG, UITM, Kolej Kesihatan Kuching dan lain-lain. Walaupun begitu, kami dapat bergaul dengan baik, menjalinkan persahabatan dengan baik dan telah menjadi suatu keluarga yang unik serta membahagikan kasih sayang yang kami ada di kalangan kami. Kami juga sentiasa mencari peluang untuk melakukan aktiviti bersama-sama dengan tujuan untuk menguatkan iman serta kepercayaan kepada Tuhan sekaligus mempereratkan lagi hubungan yang terjalin di antara kami. Pendek kata, dengan melakukan ini, perasaan kasih sayang di antara kami hadir di sertai dengan kebahagiaan.

Gambar 2 Keluarga “Medan University and College Adventist Student Society” (MUCASS), Medan Universiti

Gambar 3 Keluarga “BFF Forever”, DeTAR
Keluarga saya yang ketiga di kenali sebagai “BFF Forever” dan hanya mempunyai seorang ahli sahaja. Dialah keluarga saya dan dia juga merupakan sahabat saya. Dia bernama Gazy Glory dan berbangsa Iban. Walaupun kami berlainan bangsa namun sejak pertama perkenalan kami, saya dapat merasakan adanya keserasian yang wujud di antara kami dan ini mendorong kami untuk bersahabat baik. Bagi pendapat saya, keluarga itu merupakan suatu medium di mana kita boleh merasakan adanya kasih daripada ayah, kasih daripada ibu, kasih daripada adik-beradik dan kasih daripada saudara-saudara yang lain. Oleh itu, saya boleh katakan bahawa apabila saya bersama dengan dia, saya dapat merasakan semua itu. Tanpa di sedari juga, kami telah berkawan dalam satu jangka masa yang panjang dan puji Tuhan kerana kami tidak pernah bergaduh ataupun salah faham walaupun sekali sepanjang kami berkawan. Inilah keunikan yang hadir sepanjang saya bersama dengan sahabat saya ini dan menjadi keluarga.
Inilah serba sedikit perkongsian pengalaman daripada saya sepanjang saya bergelar penuntut di universiti di mana saya dapat merasakan kasih sayang dalam kehidupan universiti melalui keluarga yang terbentuk. Saya percaya setiap orang mempunyai perasaan kasih sayang itu dan hanya diri sendiri yang dapat menentukan sama ada mahu membahagikan kasih itu kepada orang lain ataupun tidak. Akhir kata daripada saya, jika seseorang ingin membahagikan kasih sayangnya kepada orang lain, dia perlu belajar untuk memupuk perasaan kasih itu dalam dirinya dan belajar untuk menjadikan kebahagian itu sebagai salah satu medium untuk mengongsikan kasih sayang kepada orang sekeliling. Seperti yang di katakan oleh Margaret Lee Runbeck, “Kebahagiaan bukannya sebuah perhentian, tetapi cara anda mengembara”. Sekian daripada saya. =)

Irdiana Dewi Doimin
47015

Rujukan:

Julian Melgosa (2014). Minda Positif: Sebuah panduan praktikal untuk sebarang situasi. Editorial Safeliz, S. L.

UKHWAH FILLAH UNIMAS

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”



Gambar ketika berada di kaki Kg Santubong

Assalamualaikum dan Salam sejahatera semua. Apa khabar semua? Emosi masih dalam keadaan stabil? Saya Muhammad Shazwan Kamaruzali, insyaAllah bakal Kaunselor satu hari kelak. Nama manja saya Juwwe. Selamat berkenalan.
Pada kali ini, saya berkesempatan untuk berkongsi tentang kehidupan di alam universiti ini. Saya telah bertapak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sejak 2013 lagi. Saya merupakan pelajar jurusan asasi sains hayat di UNIMAS sewaktu di Pusat Asasi UNIMAS sebelum beralih arah ke Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.
Satu aturan yang telah diaturkan oleh-Nya membawa satu perkara baru dan mendewasakan diri saya sendiri. Tidak pernah terfikir untuk bertapak jauh di bumi Kenyalang yang selalu dimomokkan dengan perkara yang negatif. Terbang jauh menaiki “belon” membawa satu harapan besar keluarga.
Tika memulakan satu kehidupan baru yang jauh daripada keluarga, suasana yang berbeza, masyarakat berbeza dan system pembelajaran yang baru, saya mengambil masa agak lama untuk menyesuaikan diri pada ketika itu.
Permulaan kehidupan di bumi asing semasa Asasi UNIMAS membawa saya ke arah mencari satu kelompok yang mana sekarang telah menjadi keluarga saya di UNIMAS. Saya telah menyertai Jawatankuasa Pengurusan Masjid UNIMAS (JPMU) yang merupakan satu badan pelajar yang cuba membawa program-program islam dan mengimarahkan Masjid di Pusat Asasi. Dari situlah permulaannya saya berjinak-jinak dengan satu bulatan gembira yang dipanggil USRAH. Usrah adalah satu bulatan tetap yang dianjurkan oleh kumpulan dalam memahami dan menghayati Islam.  
Di samping menjalankan gerak kerja utama kami, kami yang berada dalam JPMU seramai 11 orang membentuk satu usrah dan kami akan berkumpul sekurang-kurangnya seminggu sekali. Kami mempunyai kepelbagaian latar belakang, negeri dan kerenah. Usrah membawa kami untuk bersama walaupun dalam kepelbagaian.
 Banyak kelebihan yang diperoleh dalam mengikuti sesebuah usrah. Di sini saya akan mengutarakan pendapat saya tentang dapatan saya daripada usrah yang saya jalani. 


Memahami Islam
Di dalam usrah, kami diajar untuk memahami dan kemudian menjadikan Islam sebagai cara hidup dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya berdasarkan topik-topik yang digariskan. Di samping pengisian, kami juga menjalankan modul-modul dan aktiviti yang menambahkan tahap kefahaman kami semua.
Menenangkan Diri
Saya membawa analogi telefon bimbit dengan pengecas telefon bimbit. Kita tidak akan pernah lari daripada kekusutan dan kesusahan. Di dalam sesi usrah berlangsung, setiap ahli akan diberi ruang untuk berkongsi masalah, teguran, idea dan nasihat. Secara tidak langsung, suasana tolong-menolong antara satu sama lain dihidupkan. Bagi saya, sistem usrah adalah satu sistem hampir sama dengan sistem sesi kaunseling kelompok.
Mengenali Sahabat & Membina Ukhwah
Berapa di tempat asing akan membawa seseorang itu untuk cuba mencari kelompok yang baru untuk dia bersama. Usrah bukanlah satu kelompok yang biasa-biasa tetapi usrah memandu mereka yang mempunyai satu pemikiran yang sama iaitu untuk berkumpul berbincang dan memahami tentang Islam. Di dalam usrah, setiap ahli bukan sahaja belajar tetapi kami juga melakukan aktiviti bersama bagi mengeratkan hubungan serta pemikiran kami semua. Hal ini memandu ahli-ahli untuk dapat bersama di dalam kepelbagaian yang banyak perbezaannya.

Ukhwah membawa maksud ikatan persaudaraan. Dalam sesebuah organisasi kurang meletakkan tentang hubungan antara satu sama lain sebagai satu perkara yang penting. Usrah mengajar ahli untuk menguatkan ikatan antara satu sama lain. Daripada pengalaman saya, usrah sangat membantu kami dalam pergerakan organisasi kami JPMU. Masalah yang timbul sedikit sebanyak kami dapat selesaikan dengan cara yang aman dan matang. 


MUHAMMAD SHAZWAN KAMARUZALI
KAUNSELOR PELATIH
28032016

Friday, March 18, 2016

Kasih Sayang Melalui Persahabatan di dalam Universiti

Assalamualaikum dan hai semua,
Saya Siti Nurhayati Binti Ibrahim (49026). Saya dikenali oleh rakan-rakan seperjuangan saya dengan gelaran Ati ataupun kak Ati bagi yang lebih muda daripada saya. Saya merupakan pelajar kaunseling  Tahun 2 Semester 2 daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Pada pendapat saya, kasih sayang merupakan ikatan yang mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara individu dengan individu yang lain. Kasih sayang juga merupakan keperluan asas yang perlu ada dalam kehidupan setiap manusia . Ianya adalah satu ikatan yang terjalin di antara setiap manusia. Dalam aspek kekeluargaan pula, kasih sayang daripada ibubapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni.
Tajuk minggu ini saya yang ingin huraikan adalah berkenaan dengan kasih sayang dalam kehidupan universiti. Ya, sememangnya kita mengetahui bahawa kehidupan di Universiti agak mencabar apa lagi bagi diri saya yang jauh merantau dari negeri Kelantan ke negeri Sarawak. Hidup berjauhan dari keluarga menyebabkan rasa rindu terhadap keluarga itu sangat mendalam. Namun begitu, kasih sayang yang terbina di alam universiti serba sedikit mengubat rindu di hati saya. Selepas menjalani kehidupan di UNIMAS selama empat semester, saya melihat kasih sayang begitu utuh terjalin dalam satu kumpulan saya yang dikenali sebagai “G10 Bapak”. Walaupun ahli kumpulan ini berasal dari empat negeri yang berbeza (Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak), namun kasih sayang ini tetap utuh sehingga kini. Empat semester bersama mengharungi liku-liku kehidupan sebagai insan bergelar pelajar dan perantau.

                       ( Gambar 1 :Semasa Pembentangan Akhir Semester 1, Tahun 1)

Gambar 1 di atas merupakan gambar semua ahli keluarga “G10 Bapak” yang sangat saya sayangi terdiri daripada Farid, Ati, Nisa, Anie, Zara, dan Law. Apa yang amat membanggakan saya adalah walaupun kumpulan ini dibentuk bukan atas kehendak kami namun atas pilihan pensyarah, tapi kami masih mampu bersama sehingga kini. Perbezaan bangsa, asal, agama mahupun bahasa tidak menghalang terjalinnya kasih sayang antara kami. Mungkinkah hadirnya cinta terhadap sahabat yang mengukuhkan hubungan ini? Menurut Musafir Bin Said az-zahrani, cinta adalah satu emosi terpenting dalam kehidupan manusia. Faktor terpenting dalam menyatukan hati manusia dan pembentukkan kasih sayang di antara sesama mereka. YA, cinta sesama sahabat lah yang menyebabkan kami bersatu selama ini.  
Bukan harta mahupun balasan daripada seorang kawan yang diharapkan, namun cukuplah sekadar masa dan sokongan dihulurkan bagi mengekalkan ikatan kasih sayang ini. Itulah yang berlaku dalam kumpulan kami. Susah mahupun senang sentiasa bersama-sama. Hingga sampai satu ketika, walaupun dah berada di saat-saat akhir, kami tetap berkongsi ilmu untuk menghadapi exam yang akan datang. Saling melengkapi antara satu sama lain. Jatuh dan bangun bersama. Apa yang dapat saya simpulkan di sini adalah persahabatan tidak di ukur dari banyaknya harta tapi seberapa lama dapat bertahan dalam suka mahupun duka.


               
                                    (Gambar 2 : Peperiksaan Akhir Falsafah Kaunseling Semester 1)


Kehidupan seorang pelajar sudah pasti tidak lepas daripada assignment dan juga program yang perlu diselesaikan terutamanya bagi kami pelajar kaunseling. Kesibukkan dan perbezaan bidang tugas dalam setiap program bukan menjadi faktor untuk kami berpecah belah. Mungkin juga sikap saling memahami dan membantu antara satu sama lain menyebabkan kami sentiasa bersama. Malahan sebelum program berjalan pun sempat lagi selfie. Zaman teknologi sekarang, selfie ada dimana-mana sahaja. Sebelum makan makanan sedap-sedap pun kena selfie. Hehehe generasi Y kan. Rasa gembira terus menguasai diri apabila dapat bergambar bersama. Sebab itu, jangan sesekali jadikan perbezaan pangkat penghalang untuk kita meneruskan jalinan kasih sayang sesama sahabat. Pesanan dari saya, “majulah tanpa menyingkirkan orang lain, naiklah tinggi tanpa menjatuhkan orang lain dan berbahagialah tanpa mnyakiti orang lain”

   

                               (Gambar 3 : Program Bersama CCRC Semasa Tahun 1, Semester 2)
  
Apa yang dapat saya simpulkan secara keseluruhannya ialah kasih sayang dalam kehidupan di universiti khasnya bagi saya pelajar UNIMAS sangat terserlah dalam konteks persahabatan. Memiliki sahabat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bangsa dan negeri bukan menjadi penghalang untuk kita mengukuhkan ukhwah sesama kita dan juga menjalinkan ikatan kasih sayang yang utuh dalam persahabatan. G10 Bapak banyak mengajar saya bahawa kasih sayang antara kami dapat bertahan sehingga kini kerana rasa cinta terhadap sahabat yang wujud dalam diri, tidak mengukur nilai persahabatan dengan memandang harta serta pangkat yang dimiliki oleh sahabat yang lain. Dari kisah ini kasih sayang yang wujud dalam kehidupan  di universiti sebenarnya adalah kasih sayang sebuah persahabatan yang terjalin buat selamanya.
Sekian daripada saya,
Nurhayati

                                                             “GROUP 10 BAPAK”
                   

                     (SEMOGA HUBUNGAN INI KEKAL SELAMANYA)
                            J LAW_ATI_ZARA_ANIE_FARID_NISA J


Rujukan
Rachman, A. (2015). Pengertian cinta menurut para ahli . Retrieved from
                 http://aunirachman.blogspot.my/2015/05/pengertian-cinta-menurut-para-ahli.html



Persahabatan Jalinan Kasih Sayang di Universiti

Asssalamualaikum kepada semua yang mengenali diri Athirah atau tidak mengenali diri Athirah J
Selamat berkenalan kepada semua. Sesungguhnya kita mempunyai keindahan diri yang tersendiri
J

Apa yang saya rasa dan fikir pada detik ini adalah kesyukuran. Bersyukurnya saya kerana beradanya saya di sini. Di sini? Ya di sini di alam universiti yang mempunyai pelbagai corak, cerita, suka, duka, tangis, tawa. Ya di sini juga tempat mentarbiyah diri dari seorang yang hanya tahu melalaikan diri dengan kesenangan, di sini tempatnya saya tersedar dari kealpaan dengan keseronokan hiburan yang hanya meletakkan diri di tempat yang bahaya dan  di sini jugalah tempat lahirnya sebuah cinta.

Wahai sahabat, kita tidak kenal sebelum ini, tidak tahu asal usul antara kita. Pertemuan di universiti adalah titik permulaan jambatan persahabatan kita kepada kasih sayang. Percayalah…Pengalaman ini tidak mungkin akan dirasai oleh semua orang. Pahit manis hanya antara kita yang tahu. Ukhwah yang terjalin antara kita tidak mungkin akan berlaku jika tidaknya kita berada di kehidupan universiti ini. Begitu juga dengan pensyarah-pensyarah yang bertungkus lumus mencurahkan ilmu kepada kita untuk menjadi seorang yang berilmu. Itulah bukti kasih sayang mereka kepada kita.



Gambar bersama sri kandi Gayong UNIMAS

Matarun, (2010) mengatakan bahawa hargailah sementara masih ada, belum terlambat lagi untuk perbetulkan apa yang salah. Tolong.. tidak perlu dibuang jika ia sudah rosak namun perbaiki dengan penuh berhemah dengan kemahiran yang ada pada setiap diri kita. Penerimaan antara kita memperlihatkan nilai kasih sayang yang telah kita bina sejak berada di universiti. Di sini tempat saya mengenal erti kehidupan, betapa manisnya jika kita dapat merasai kasih sayang antara kita. Kita yang membuat pilihan..





Terdapat beberapa cara yang boleh memupuk kasih sayang di antara kita sewaktu di universiti. Gunakan masa yang tidak lama ini untuk memupuk kasih sayang di antara kita. Ini kerana dirimu begitu berharga untuk disayangi dan kerana kita mampu untuk mencipta sebuah memori yang indah melalui ikatan kasih sayang di sini, di Universiti Malaysia Sarawak.

 Sentiasa bersikap jujur antara satu sama lain
Tidak mudah untuk jujur walaupun kejujuran itu kadang kalanya perit namun ia mengambil masa yang sedikit untuk sembuh kerana dengan kejujuran kita dapat melepaskan apa yang terbuku di hati namun bersikap jujurlah dengan hikmah dan penuh bersopan santun kerana setiap penerimaan kejujuran akan jadi lebih indah dengan kata-kata yang baik.

Sentiasa bersikap terbuka dan tidak bersangka buruk
Manusia  terkadang mempunyai pemikiran yang negatif terhadap tindakan sesuatu perkara. Sebagai contoh kita terlihat seorang rakan dan kita sewaktu ingin ke kelas dan kita melemparkan senyuman kepadanya namun senyuman kita tidak dibalas mungkin ketika itu kita akan berkata kepada diri kita adakah kita melakukan apa-apa kesalahan kepadanya?  Pada waktu ini sikap keterbukaan amat penting mungkin rakan kita tadi mempunyai masalah peribadi yang sedang bermain-main difikirannya. Dengan sikap terbuka kita akan merasakan kasih sayang menjadi akar tunjang kepada persahabatan.

Ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara
Hargai seseorang seperti mana kamu ingin dihargai, sayangi seseorang sepertimana kamu ingin disayangi. Tidak perlu bermuka-muka dan tidak perlu bermasam muka jika melakukan sesuatu perkara.  Belajar ikhlas diri dan perbetulkan niat kita setiap masa jika kita terleka. Apa yang terjadi sentiasa ada hikmah. Pandanglah sesuatu perkara dengan keihklasan dan kasih sayang kita akan dapat merasai perbezaannya.

Memaafkan diri dan orang lain
Sebagai manusia kita tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan percayalah dengan melakukan kesilapan kita akan tersedar dan kita akan perbetulkan kesilapan itu untuk menjadi lebih baik. Tidak salah melakukan kesilapan maafkan diri anda dan orang lain dan jangan ulang kesilapan yang sama perbaiki semampu yang kita boleh.


Terdapat banyak lagi perkara yang kita boleh lakukan untuk memupuk kasih sayang ia terpulang kepada kita sama ada ingin melihat kasih sayang itu di tahap yang kita inginkan. Kita yang melakukan perubahan itu kerana tidak lain yang berada di universiti selain kita. Saya percaya dengan adanya kasih sayang di universiti ini kita tidak akan mudah cepat melatah kerana kita berada di landasan ilmu yang menuntut kita untuk berfikir dan sentiasa berpandangan jauh. Oleh itu, saya berharap agar kita mampu mencapai matlamat kita bersama tujuan utama kita masuk ke universiti dengan disulami ikatan kasih sayang yang abadi untuk kita kenang sehingga akhir hayat nanti.





Penuh kasih sayang,
Athi@athirah



Oleh: Siti Nor Athirah binti Mohamad 48989
Nama Pensyarah : Dr. Amalia Madihie
Subjek : KMC 2053 Makmal Kaunseling II                                        
Fskpm batch 3 sesi 2013/2014 pada jam 1.12 petang 16/3/2016

Rujukan

Matarun, T (2013, July 13).  Jalinan persahabatan jambatan kasih sayang, tanpa sahabat 
             siapalah aku. Retrieved from http://tokwanmatarun.blogspot.my/2013/07/jalinan-
             persahabatan-jambatan-kasih.html