Dengan
nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Assalamualaikum
dan apa khabar semua pembaca blog? Saya doakan semoga kalian sentiasa sihat dan
berada dalam rahmat ilahi. Orang dulu-dulu kata, kalau tak kenal maka tak
cinta. Betul ke? Jadi sebelum saya meneruskan coretan hati ini, izinkan saya
memperkenalkan diri kepada semua pembaca blog. Nama saya Khairunnisa Binti Abdul
Jalil. Berasal dari Muar, Johor. Dilahirkan pada tanggal 22 Disember 1993. Anak
ketiga daripada 4 orang adik beradik. Kini menyambung pelajaran dalam bidangan
Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan kepujian, Fakulti Sains Kognitif dan
Pembangunan Manusia di Universiti Malaysia Sarawak.
Pertama
sekali, syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada pensyarah iaitu Dr. Amalia
Madihie kerana memberi peluang kepada saya untuk berkongsi cerita mengenai
“Kasih Sayang di Universiti”. Bagi saya, kasih sayang itu ibarat lautan yang tiada
penghujungnya dan seperti langit yang terbentang luas memayungi alam. Allah
hadirkan kasih sayang dalam hati setiap hambanya agar mereka dapat merasa
betapa manisnya sebuah ukhuwah yang terjalin. Kerana kasih sayang, kita masih
lagi hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni dan kerana kasih juga mampu
memadamkan api persengketaan. Hebatkan kuasa kasih sayang itu? Sesungguhnya sehingga hari ini saya rasa
sangat bertuah kerana dikelilingi dengan sahabat yang saling mengasihi dan melengkapi
antara satu sama lain. Mereka ibarat keluarga besar disini. Tanpa kehadiran
mereka, pasti saya akan merasa sunyi dan tiada tempat untuk berkongsi cerita.
Gambar
bersama rakan sekelas dan Dr. Amalia
Saya
masih ingat lagi apabila kali pertama mendapat perkhabaran bahawa saya telah
dipilih melanjutkan pelajaran di bumi Kenyalang ini. Setiap malam, sebelum
tidur pasti saya menangis kerana saya tahu selepas ini saya akan terbang jauh
dari keluarga yang dikasihi. Sampailah hari pertama saya menaiki “belon” ke
Sarawak, hati ini hanya Allah sahaja yang tahu. Namun, perancangan Allah itu
hebat. Banyak hikmah yang saya perolehi di sini. UNIMAS ini bukan sahaja kaya
dengan alam semula jadi, tetapi kaya dengan kasih sayang yang tiada dijual
beli. Jika dahulu, saya ragu-ragu untuk melanjutkan pelajaran ke Sarawak, namun
kerana kuasa kasih sayang telah mengikat jasad dan hati untuk terus tabah
melalui hari-hari mendatang di tempat orang. Limpahan kasih sayang antara rakan
sekelas yang berlainan bangsa, agama, budaya dan adat resam telah mewarnai
hari-hari yang dilalui. Kasih sayang yang terjalin antara kami pelajar
Kaunseling telah melahirkan semangat tolong-menolong, bertolak ansur, dan
hormat menghormati antara rakan sekelas. Sehingga ke hari ini, kasih sayang yang
disemai tetap subur dihati kami semua.
Antara
aktiviti yang dilakukan bersama rakan sekelas
Saya juga ingin berkongsi mengenai kasih
sayang dalam kumpulan 10. Kumpulan 10 ini wujud sejak semester pertama lagi.
Mereka merupakan ahli kumpulan yang dibentuk untuk subjek Falsafah dan Prinsip
Kaunseling. Walaupun pada mulanya kumpulan ini wujud semata-mata untuk memenuhi
tugasan berkumpulan, namun akhirnya kumpulan ini kekal sebagai adik-beradik
yang sentiasa ada ketika susah dan senang. Baru-baru ini, kami menyambut ulang
tahun kedua penubuhan kumpulan 10. Alhamdulillah, cepat masa berlalu. Rupa-rupanya
dah dua tahun kami bersama sebagai kumpulan 10. Terasa seperti baru semalam
mengenali mereka. Keletah dan lawak mereka sentiasa menceriakan hari-hari saya.
Terima kasih kumpulan 10. Semoga kasih sayang yang kita bina ini sampai ke
syurga.
Kek sempana Ulang Tahun kedua
Kumpulan 10
Kini, hampir dua tahun saya berada
dibumi Kenyalang ini. Alhamdulillah, banyak benda yang saya belajar disini
terutama sekali belajar berkasih sayang dengan insan-insan yang berada di sekeliling
saya. Sesungguhnya, perancangan Allah itu adil. Saat diri ini jauh dari
keluarga, Allah gantikan dengan kasih sayang keluarga Kaunseling yang besar.
Harapan dan doa saya ialah agar kami semua dapat menamatkan pengajian dengan
keputusan yang cemerlang. Semoga kasih sayang yang terbina ini kekal hingga ke
akhir hayat. Amin Ya Rabbal Alamin.
nice2...
ReplyDelete